PAYNET KONGSI REZEKI RM15,000 UNTUK FOODBANK USM
KUALA LUMPUR, 14 Julai 2025 – Dalam usaha membantu meringankan beban mahasiswa yang memerlukan, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) telah menyumbangkan sebanyak RM15,000 kepada program Foodbank Universiti Sains Malaysia (USM).
Sumbangan ini disalurkan melalui hasil sesi kunjungan dan lawatan industri ke syarikat ini dalam rangka siri sesi lawatan Pusat Pembangunan Pelajar (PPP), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM ke Kuala Lumpur.
Sumbangan diserahkan oleh Pengarah Kanan, Bahagian Digitalisasi Kerajaan, PayNet, Firdaus Ghani kepada Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar (PPP), Profesor Dr. Azizah Omar, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif PayNet yang bertujuan berkongsi rezeki bersama komuniti pendidikan tinggi.
Dana yang disalurkan akan digunakan bagi menambah bekalan Foodbank USM di bawah Unit Kebajikan BHEPA untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan bantuan.
Pihak USM merakamkan penghargaan atas keprihatinan PayNet dan menyifatkan kerjasama ini sebagai satu contoh sinergi positif antara sektor korporat dan institusi pendidikan dalam membina masyarakat penyayang dan inklusif.
Foodbank USM telah memainkan peranan penting sejak penubuhannya dalam memastikan kebajikan pelajar terus terbela.
Dengan sumbangan ini, lebih ramai pelajar dijangka mendapat manfaat secara langsung, dan ia turut diharap dapat menggalakkan lebih banyak pihak luar tampil memberi sokongan kepada program kebajikan seumpama ini di masa akan datang.
Hasil yang diperolehi ini juga selari dengan hasrat USM dalam pemerkasaan Matlamat Pembangunan Mampan 1 dan 2 iaitu Tiada Kemiskinan (No Poverty) dan Kelaparan Sifar (Zero Hunger).
Terdahulu, sesi lawatan ini dimulakan dengan pembentangan pihak PAYNET dan juga USM dalam memperkukuhkan kerjasama dan potensi kolaborasi dalam konteks pendidikan tinggi serta pembangunan pelajar.
Teks: Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA/ Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
- Created on .
- Hits: 106