USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TEGAS MEMASTIKAN KUALITI DAN INTEGRITI AKADEMIK DALAM PENULISAN TESIS TERPELIHARA

WhatsApp Image 2025 07 30 at 15.35.35 25eefd00

USM PULAU PINANG, 30 Julai 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa mengemaskini pengetahuan serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT dalam penulisan akademik.

USM mengutama dan meletakkan integriti akademik sebagai tunjang terpenting di dalam semua aspek pengajian tinggi, terutamanya dalam program pascasiswazah dan penyelidikan agar setiap tesis yang dihasilkan oleh calon PhD dan Sarjana Penyelidikan di USM sentiasa berkualiti tinggi dan bebas dari isu ciplakan AI.

Sehubungan dengan itu, USM turut mengemas kini secara berkala polisi berkaitan plagiarisme dan AI, yang merangkumi aspek-aspek seperti di bawah:

1.       Kawalan kualiti penulisan tesis di USM dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk kewajipan pelajar berjumpa penyelia secara berkala dan mengemukakan laporan kemajuan penyelidikan pada setiap semester. Pelajar yang gagal menunjukkan kemajuan akan dipantau secara rapi dan boleh ditamatkan pengajian sekiranya gagal membuat pelaporan seperti yang dikehendaki.

2.       USM menyedari terdapat amalan dalam kalangan pelajar untuk mendapatkan perkhidmatan seperti proofreading, semakan tatabahasa dan pemformatan tesis. Perkara ini dibenarkan selagi tidak melibatkan ciplakan penulisan kandungan akademik oleh pihak ketiga dan ia berada dalam pengetahuan pihak Universiti terutamanya Penyelia Utama pelajar.

3.       Polisi USM terhadap isu plagiarisme adalah jelas dan menyeluruh, dengan tumpuan kepada pengesanan, pengkelasan tahap-tahap plagiarisme serta pencegahan menerusi latihan, siri taklimat berkala, dan pemahaman berdasarkan situasi sebenar di dalam kalangan pelajar.

4.       Sebagai universiti penyelidikan terkemuka, USM menilai keaslian dan kualiti penulisan tesis bukan sahaja melalui penilaian kandungan bertulis, tetapi turut mengambil kira sesi penilaian viva-voce. Dalam sesi ini, pelajar perlu mempertahankan secara lisan hasil kajiannya di hadapan pakar bidang yang merupakan pemeriksa luar dan pemeriksa dalam yang dilantik oleh Senat Universiti. Ini merupakan mekanisme penting untuk menguji tahap kefahaman, keaslian idea serta penguasaan terhadap penyelidikan yang dijalankan.

Sekiranya pelajar gagal dalam viva-voce atau perlu mengulang sesi tersebut, ia boleh mencerminkan pelbagai isu termasuk kelemahan dari segi penyelidikan, penulisan tesis atau tahap kefahaman pelajar itu sendiri—dan secara tidak langsung boleh membangkitkan persoalan tentang keaslian kandungan tesis yang dibentangkan.

USM kekal komited untuk menegakkan etika dan integriti akademik bagi memperkukuh kawalan terhadap isu-isu berkaitan teknologi penulisan terkini termasuk AI, demi memastikan reputasi dan kualiti akademik Universiti sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Sumber: Bahagian Akademik & Antarabangsa, USM & Institut Pengajian Siswazah (IPS), USM

  • Created on .
  • Hits: 176

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025