USM JALIN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA THE UNIVERSITY OF OSAKA DI EKSPO DUNIA OSAKA 2025
USM PULAU PINANG, 28 Julai 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama The University of Osaka sempena Minggu Pendidikan Tinggi di Pavilion Malaysia, Ekspo Dunia Osaka 2025, baru-baru ini.
Pertukaran dokumen MoU disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama wakil The University of Osaka, Profesor Morikawa Yoshitada, memperkukuh hubungan akademik dan pengantarabangsaan antara kedua-dua institusi.
Kerjasama strategik ini meliputi pelaksanaan program ‘Dual Doctorate’, pertukaran staf akademik dan pelajar, serta penglibatan dalam Osaka University International Certification Programme (OUICP).
The University of Osaka merupakan universiti berprestij yang tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia berdasarkan penarafan QS World University Rankings.
Minggu Pendidikan Tinggi Malaysia di Ekspo Dunia Osaka 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung pada 21 hingga 26 Julai turut menampilkan pameran penyelidikan, sesi padanan perniagaan, dan pemeteraian MoU dengan pelbagai rakan strategik.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir merasmikan minggu KPT secara maya dan menekankan potensi pelancongan pendidikan Malaysia-Jepun menerusi Edutourism Gateway dan pakej ‘Study in Malaysia’.
Majlis pelancaran di Pavilion Malaysia turut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.
Ekspo Dunia Osaka yang dianjurkan setiap lima tahun ini menghimpunkan 158 pavilion negara, menampilkan kekuatan budaya, teknologi, pelaburan, dan visi masa depan negara-negara peserta.
Teks & Foto: Sr. Dr. Muneera Esa, Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa, IMCC, USM/ Suntingan: Shafinaz Md Ismail, MPRC, USM
- Created on .
- Hits: 178