PROGRAM KOMUNIKASI USM DIIKTIRAF ANTARA TERBAIK ASIA – CEMERLANG AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN DALAM EDURANK 2025
USM PULAU PINANG, 29 Julai 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus terkehadapan dalam bidang komunikasi dan media apabila program Komunikasi disenaraikan antara yang terbaik dalam EduRank 2025.
Kejayaan ini membuktikan bahawa USM bukan sahaja unggul dalam bidang sains dan teknologi, tetapi juga dalam bidang sains sosial dan sastera.
Ia mengukuhkan falsafah bahawa sains sosial dan sastera turut memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan, bukan sekadar pelengkap kepada bidang sains tetapi sebagai penggerak arus pemikiran masyarakat, yang membentuk wacana, persepsi dan tindakan di peringkat nasional dan global.
Berdasarkan penarafan Edurank terkini:
- Kewartawanan Penyiaran: #1 di Malaysia, #10 di Asia
- Kajian Media: #2 di Malaysia, #30 di Asia
- Penyiaran Radio dan Television: #4 di Malaysia, #73 di Asia
- Komunikasi dan Perhubungan Awam: #5 di Malaysia, #16 di Asia
- Kewartawanan dan Media Digital: #6 di Malaysia, #59 di Asia
EduRank merupakan satu sistem penarafan bebas berasaskan metrik yang menilai 14,131 universiti dari 183 negara. Penilaian keseluruhan EduRank berpandukan tiga komponen utama merangkumi kekuatan akademik, bukan akademik serta alumni:
- 45% Prestasi Penyelidikan,
- 45% Keterlihatan Bukan Akademik, dan
- 10% Skor Alumni
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan ini yang menurut beliau, kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif melibatkan pensyarah, pentadbir, pelajar, alumni serta rakan strategik industri.
Beliau turut menyatakan bahawa pengiktirafan ini membuktikan bahawa USM bukan sahaja melahirkan saintis dan penyelidik hebat, malah juga pemimpin masyarakat dalam bidang komunikasi dan media.
Dekan Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM, Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar pula menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil bersepadu yang dicapai melalui komitmen, dedikasi dan kerjasama erat pelbagai pihak.
“Kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh program akademik serta memperluaskan jaringan penyelidikan dan kolaborasi di peringkat global,” ujar beliau lanjut.
Dalam pada itu, graduan Kewartawanan yang telah bergraduasi pada tahun 2021 dan kini berkhidmat sebagai wartawan eksekutif di Kosmo!, Nur Alwani Zafirah Khairul pula turut menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian pusat pengajian yang pernah mendidiknya.
“USM dan PPK banyak mencorak kemahiran dan nilai profesional saya hari ini. Ia menjadi asas kukuh dalam kerjaya kewartawanan yang saya ceburi,” ujar beliau.
Kejayaan berkenaan turut menzahirkan bahawa USM dan PPK bukan sekadar medium penyampaian ilmu namun ia adalah medium bagi perubahan yang signifikan dalam mendepani cabaran global dengan komunikasi yang berasaskan integriti dan kelestarian.
Teks: Pusat Pengajian Komunikasi USM/ Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq (MPRC)
- Created on .
- Hits: 168