LAWATAN KERJA NAIB CANSELOR KE THE UNIVERSITY OF OSAKA: LANGKAH SIGNIFIKAN PERKUKUH JARINGAN ANTARABANGSA
USM PULAU PINANG, 26 Julai 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa dan memperluas kerjasama dalam penyelidikan, pendidikan dan inovasi yang diyakini akan memberi impak dan manfaat sejagat.
Terbaharu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama delegasi USM telah mengadakan lawatan kerja ke The University of Osaka, sekali gus membuat kunjungan hormat kepada Presiden baharu mereka, Profesor Dr. Kumanogoh Atsushi, yang memegang jawatan berkenaan bermula 1 April 2025.
Pada masa yang sama, nama universiti berkenaan turut dijenama semula daripada Osaka University kepada The University of Osaka.
Abdul Rahman menegaskan, lawatan kali ini amat bermakna bagi USM dan secara peribadi kerana ia menzahirkan kesinambungan kepada usaha yang dimulakan oleh beliau hampir dua dekad lalu dan kini telah berkembang secara signifikan.
“Kolaborasi antara Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, USM dengan R3 Institute for Newly-Emerging Science Design yang dimulakan suatu ketika dahulu kini berkembang ke pelbagai bidang di USM dan telah menghasilkan lebih 100 kertas kerja dalam jurnal berwasit antarabangsa,” ujar beliau.
Delegasi USM itu turut disertai oleh Pengarah Pejabat Kreativiti dan Pengurusan Penyelidikan USM, Profesor Dr. Zainovia Lokman dan Pengarah Bahagian Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Lee Keat Teong.
Sebagai langkah ke hadapan, Abdul Rahman turut menyarankan agar USM dan The University of Osaka bekerjasama bagi menghasilkan tenaga mahir dalam bidang semikonduktor kerana inisiatif ini dapat menyokong dasar “Malaysia’s National Semiconductor Strategy (NSS)”.
Selain itu, kedua-dua universiti turut bersetuju bahawa aktiviti penyelidikan bersama dan pertukaran ahli penyelidik/pelajar pada masa hadapan akan difokuskan dalam lima bidang semikonduktor iaitu pra-proses pembuatan, pasca-proses pembuatan, peranti input antara muka, peranti output antara muka, serta reka bentuk dan simulasi bahan semikonduktor.
Dalam lawatan itu juga, USM menyatakan komitmen untuk meningkatkan bilangan peserta bagi “Osaka University International Certification Programme” atau lebih dikenali sebagai OUICP.
Sejak dilancarkan pada tahun 2022, lebih daripada 20 staf akademik dan pelajar telah mendapat manfaat daripada program tersebut dan bagi tahun ini, USM akan menghantar empat ahli akademik dan lima pelajar.
Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperluas bidang penyelidikan bagi meningkatkan bilangan pelajar yang mengikuti “Dual Doctorate Programme”.
Ahli dari The University of Osaka yang turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut terdiri daripada:
- Prof. HAYASHI Mikako, Executive Vice President of Global Engagement;
- Prof. MIYASAKA Hiroshi, Vice Director, R3 Institute for Newly-Emerging Science Design;
- Prof. MORIKAWA Yoshitada, Faculty of Engineering;
- Prof. FUJITA Kiyoshi, Regional Director, ASEAN Centre for Academic Initiatives;
- Prof. SUMIMURA Yoshinori, Institute for International Initiatives.
Teks & Foto: Profesor Dr. Lee Keat Teong/ Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 156