USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROF. AZLAN NASIHATI PELAJAR TUMPUKAN PERHATIAN KEPADA PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER DAN ELAK TERLIBAT PROGRAM LUAR

518358902_1240629444528347_1485977800736059249_n.jpg

USM PULAU PINANG, 22 Julai 2025 – Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat yang kini menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlan Amran menasihati semua pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan akhir semester yang sedang berlangsung dari 14 Julai hingga 3 Ogos 2025.

83067237 E6D7 4E37 87BF 7585ACC22BAD

Dalam pertemuan bersama Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada 21 Julai 2025, beliau menekankan bahawa fokus utama pelajar ketika ini adalah untuk bersedia menghadapi peperiksaan demi menjamin masa depan yang cerah serta memenuhi harapan keluarga di kampung halaman.

“Gunakan masa yang ada untuk mengulang kaji pelajaran dengan sebaiknya. Kejayaan cemerlang dalam peperiksaan adalah kunci untuk bersaing di alam pekerjaan selepas bergraduasi,” ujar beliau.

Sehubungan itu, USM telah menangguhkan pelaksanaan program-program dalaman kampus bagi memberi ruang kepada pelajar untuk membuat persiapan rapi.

Pelajar juga dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam program-program luar kampus yang boleh menjejaskan tumpuan dan konsentrasi mereka.

“Utamakan perkara yang lebih penting ketika ini dan elakkan penglibatan dalam program-program luar kampus yang boleh menjejaskan fokus terhadap peperiksaan,” tegas Prof. Azlan.

Beliau turut mengingatkan pelajar agar sentiasa sedar akan tanggungjawab mereka sebagai penuntut ilmu dan sebagai harapan keluarga, bangsa dan negara.

Akhir kata, beliau mengucapkan “Selamat Menghadapi Peperiksaan dan semoga beroleh kejayaan yang cemerlang” kepada semua pelajar USM.

Teks: Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), USM/ Foto: Unit Media & Penerbitan BHEPA, USM & MPRC, USM  

  • Created on .
  • Hits: 183

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025