100 BUNGKUS NASI LEMAK PERCUMA UNTUK PELAJAR USM SETIAP HARI SEHINGGA DISEMBER 2025
USM PULAU PINANG, 16 Julai 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran inisiatif “100 Bungkus Nasi Lemak Percuma” setiap hari bagi membantu pelajar kurang berkemampuan bagi menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar.
Sumbangan ikhlas ini daripada tokoh korporat dan dermawan tersohor negara merangkap Pengarah Urusan Yusof Taiyoob Sdn. Bhd., Dato’ Seri Yusof Taiyoob, sebagai usaha memperkukuh jaringan strategik antara institusi akademik dan sektor korporat.
Apa yang lebih menggembirakan pelajar adalah sumbangan 100 bungkus nasi lemak disediakan secara percuma setiap hari bekerja ini akan berterusan sehingga penghujung tahun ini, iaitu 31 Disember 2025.
Sumbangan beliau bukanlah sesuatu yang asing buat warga kampus, memandangkan Dato’ Seri Yusof Taiyoob juga merupakan antara penyumbang tetap kepada program iftar dan moreh anjuran Universiti setiap bulan Ramadan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh pelajar dan staf.
Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan beliau terhadap kebajikan pelajar dan staf USM, malah turut memperkukuh hubungan erat antara sektor korporat dan institusi pendidikan tinggi.
Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan sokongan berterusan beliau kepada USM, satu kunjungan hormat telah diadakan ke pejabat tokoh usahawan terkemuka negara tersebut, baru-baru ini.
Delegasi USM diketuai oleh Naib Canselor, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed itu turut disertai oleh beberapa pegawai utama universiti, termasuk yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Profesor Dr. Azlan Amran.
Dalam pertemuan empat mata tersebut, Naib Canselor menyampaikan ucapan penghargaan kepada Dato’ Seri Yusof atas komitmen dan sokongan beliau terhadap pelbagai inisiatif Universiti, terutamanya yang melibatkan pembangunan pelajar.
Beliau turut menekankan kepentingan kolaborasi berterusan antara universiti dan tokoh industri dalam melahirkan generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai jati diri yang kukuh serta kesedaran sosial yang tinggi.
“USM amat menghargai peranan aktif Dato’ Seri Yusof Taiyoob dalam menyokong pembangunan pendidikan negara dan berharap hubungan strategik ini akan terus diperkukuh demi manfaat bersama,” jelas Abdul Rahman.
📍 Lokasi Pengambilan: Rak FoodBank@HEPA, Aras Bawah, Bangunan H20, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA).
Cara Mengambil:
- Hadir ke Rak FoodBank@HEPA, Isnin–Jumaat, 9.00 pagi–4.00 petang.
- Ambil satu bungkus nasi lemak sehari.
- Sumbangan terhad kepada stok harian; sila datang awal bagi memastikan anda mendapat manfaat.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Unit Kebajikan Pelajar BHEPA di talian 04-6532468 (telefon/WhatsApp) atau e-mel
Jom kita rebut peluang ini dan sebarkan berita baik kepada rakan-rakan pelajar yang lain!
#USM #welead #FoodBank@HEPA #SDG2
Teks: Sheilawanis Abdul Karim, Ketua Unit Kebajikan & OKU, BHEPA, USM/ Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar/ Foto: BHEPA, USM
- Created on .
- Hits: 54