USM PERKASA KESIAPSIAGAAN MELALUI PROGRAM MEKANISME PENGURUSAN BENCANA
PULAU PINANG, 26 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan satu program mega bertemakan "Mekanisme Pengurusan Bencana ", yang berjaya menghimpunkan pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar serta sukarelawan bagi memperkasa kesiapsiagaan bencana di Malaysia.
Program yang disertai hampir 250 peserta di Kompleks Cahaya, USM ini merupakan anjuran sekumpulan penyelidik Geran Transdisicplinary Research (TRGS) tajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bertajuk Commcity: Sistem Bersepadu Pengurusan Bencana. Geran ini melibatkan sinergi dari pelbagai pusat pengajian seperti Prof. Ir. Dr Fadzli Mohamed Nazri (Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam,) Dr Siti Rahyla Rahmat (Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan), Dr Azleena Mohd Kassim (Pusat Pengajian Sains Komputer) dan PM Ts. Dr Shankar Karuppayah, (Pusat Penyelidikan Sekuriti Siber)
Program ini adalah usahasama antara ahli akademik, penggubal dasar, industri dan komuniti, dengan kerjasama daripada En Mohd Faizal Abd Hamid (Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial, NADMA Malaysia) Puan Ambika Devi Daran (Ketua Unit Pengurusan Bencana, Pulau Pinang) dan Tuan Salman Tuan Mohd Jaafar (Penyelaras Unit Pengurusan Bencana, NERVE Center, Bahagian Jaringan Industri, Universiti Sains Malaysia).
Program ini menjadi tumpuan utama di wilayah Utara apabila Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tampil menyampaikan taklimat penting berkenaan pendekatan Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) – satu strategi pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti yang menekankan penglibatan masyarakat secara langsung dalam mencegah, menghadapi dan memulihkan kesan bencana, khususnya dalam menghadapi ancaman Monsun Timur Laut.
Turut mencuri tumpuan adalah perkongsian daripada Unit Pengurusan Bencana (UPB) Pulau Pinang yang membentangkan peranan dan fungsi UPB dalam menyelaras tindakan bencana di peringkat negeri, termasuk memperkenalkan pendekatan penglibatan komuniti sekitar dalam gerak kerja mereka.
Suasana menjadi lebih bermakna apabila sesi diskusi terbuka antara wakil-wakil NGO dari seluruh Utara Malaysia berlangsung, berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dalam operasi bencana terdahulu. Pertemuan ini turut menyaksikan pertukaran idea, kemahiran dan cadangan penambahbaikan dalam aspek logistik, pemindahan mangsa, dan pengurusan bantuan kecemasan.
Menurut penganjur, program ini bukan sahaja memberi pendedahan teori dan praktikal kepada peserta, malah berjaya mewujudkan jaringan kerjasama antara agensi, NGO dan sukarelawan pelajar dari pelbagai institusi.
“Program ini adalah permulaan kepada satu gerakan berskala besar di peringkat nasional. Kita akan terus bawa inisiatif seperti ini ke negeri-negeri lain demi memastikan seluruh masyarakat Malaysia benar-benar bersedia dan berdaya tahan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana,” ujar salah seorang koordinator program.
Dengan sambutan luar biasa serta pengisian yang padat dan bermanfaat, program ini secara tidak langsung memperkukuh ekosistem pengurusan bencana yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan komuniti.
Universiti Sains Malaysia melalui projek merentasi disiplin ilmu ini telah membuktikan bahawa pendekatan secara kolektif adalah kunci dan asas dalam bekerjasama membina sistem pengurusan bencana yang holistik.
Program ini bukan sahaja memacu pertukaran ilmu (knowledge exchange) yang aktif dengan melibatkan universiti, penggubal dasar, industri dan masyarakat malah memastikan setiap lapisan ekosistem memainkan peranan yang saling melengkapi dalam pengurusan bencana yang lebih proaktif dan berasaskan bukti (evidence-based).
- Created on .
- Hits: 66