USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LANGKAH MITIGASI DAN ADAPTASI IKLIM; PELAN TINDAKAN IKLIM PULAU PINANG 2030 DISERAH KEPADA MBPP

WhatsApp Image 2025 07 16 at 12.31.05 a2ca06cd

USM PULAU PINANG, 16 Julai 2025 – Pelan Tindakan Iklim Pulau Pinang 2030 (Penang Island Climate Action Plan 2030) yang berfokuskan kepada langkah-langkah mitigasi dan adaptasi iklim secara rasminya diserahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), di sini hari ini.


WhatsApp Image 2025 07 16 at 12.31.07 399bbd7b

Pelan ini memberikan kerangka strategik dan operasional bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk melaksanakan tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang berkesan, iaitu menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar rendah karbon menjelang 2030 dan mencapai status neutral karbon menjelang 2050.

Antara fokus utama pelan ini ialah pelaksanaan langkah-langkah mitigasi dan adaptasi iklim melalui lima tema penting, termasuk tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga; pengangkutan hijau dan keutamaan kepada pejalan kaki; perancangan dan pengurusan ruang hijau; pembangunan komuniti berdaya tahan; serta pengurangan dan pengurusan risiko bencana.

Dokumen ini turut disokong oleh data primer dan sekunder serta model pemodelan antarabangsa seperti Asia-Pacific Integrated Model (AIM) yang diiktiraf oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), menjadikannya sebuah rujukan berpaksikan sains dan berwibawa di peringkat antarabangsa.


WhatsApp Image 2025 07 16 at 12.31.06 34edd4da

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, dokumen berkenaan bukan sekadar sebuah laporan teknikal tetapi merupakan hasil kerjasama kolektif antara penyelidik-penyelidik USM, MBPP, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah Kursi Pengajian Bandar, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.

“Kerjasama ini mewakili komitmen kolektif kita dalam membina masa depan Pulau Pinang yang lebih lestari, tahan iklim, dan mampan.

“Sebagai Universiti APEX negara, USM berperanan bukan sahaja dalam penghasilan ilmu dan teknologi, tetapi juga dalam menerajui inisiatif-inisiatif pembangunan mampan yang berasaskan bukti dan sains.

“Justeru, pendekatan Science to Action yang digunakan dalam pembangunan Pelan Tindakan Iklim ini amat bertepatan dengan hasrat negara serta agenda global seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030) dan Perjanjian Paris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Pelan Tindakan Iklim Pulau Pinang 2030 kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Hadir menerima dokumen berkenaan ialah Datuk Bandar Pulau Pinang, Dato’ Ir. Rajendran P. Anthony.


WhatsApp Image 2025 07 16 at 12.31.05 929171bc

Majlis ini turut dihadiri oleh Profesor Tpr. Dr. Ho Chin Siong selaku Penyandang Kursi Pengajian Bandar USM; Timbalan-timbalan Naib Canselor USM; Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan; wakil-wakil MBPP; rakan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM; dan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM.


WhatsApp Image 2025 07 16 at 12.31.06 1754a3cf

Rajendran dalam ucapannya pula menegaskan, MBPP bukan hanya sekadar pengurusan bandar biasa, tetapi sebuah institusi yang menyokong pembangunan yang menyeluruh, seimbang dan berdaya huni.

Katanya, pelan ini bukan sekadar satu dokumen dasar. Ia adalah manifestasi komitmen bersama untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bebas karbon menjelang tahun 2050, selain menggariskan rangka tindakan strategik yang jelas dan praktikal bagi menghadapi cabaran perubahan iklim secara lebih sistematik dan holistik.

“Peranan MBPP dalam tindakan perubahan iklim di Pulau Pinang ini sangat kritikal, sebabnya dalam konteks pembangunan bandar yang mampan, pengurusan sumber, perancangan ruang, dan penguatkuasaan dasar adalah kunci utama.

“Justeru saya percaya dan yakin dengan terhasilnya Pelan Tindakan Iklim Pulau Pinang 2030 ini, akan mengukuhkan lagi peranan utama MBPP dalam sistem pengurusan sisa yang lebih efisien dan mesra alam, termasuk program kitar semula dan pengurangan penggunaan plastik yang telah kita laksanakan ketika ini,” ujar beliau lagi.


WhatsApp Image 2025 07 16 at 12.31.08 d4166e09

Dalam pada itu, Pelan Tindakan Iklim Pulau Pinang 2030 juga dirangka sebagai pelan strategik berasaskan pendekatan Science to Action yang menyokong aspirasi negeri dan negara dalam menangani perubahan iklim secara mampan.

Pelan ini diharap dapat menjadi asas kepada tindakan konkrit dan menyeluruh dalam memperkukuh daya tahan Pulau Pinang terhadap cabaran iklim, sekali gus menyumbang kepada kelestarian masa depan negeri dan negara.

Sumber: Kenyataan media USM, 16 Julai 2025/ Suntingan: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 70

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024