PENTERNAKAN MADU KELULUT: INOVASI USM BANTU TRANSFORMASI SOSIOEKONOMI KOMUNITI DI KEM ATM
PULAU PINANG, 14 Julai 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu inovasi berimpak tinggi kepada masyarakat melalui penyertaan dalam Program Pembangunan Komuniti Tertumpu di Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang dilancarkan di sini hari ini.
Kerjasama di bawah inisiatif strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) itu dilihat sebagai satu lembaran baharu dalam jalinan hubungan antara universiti dan agensi pertahanan negara.
Melalui jaringan strategik tersebut, USM telah dipilih untuk melaksanakan Projek Penternakan Madu Kelulut yang akan diusahakan oleh komuniti Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) di Kem Sungai Ara, dengan penglibatan seramai 30 anggota tentera.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek madu kelulut adalah hasil kolaborasi antara pasukan 2 RAMD dan USM, yang memfokuskan kepada penternakan lebah kelulut secara sistematik menggunakan inovasi yang dihasilkan penyelidik USM.
Katanya, inovasi tersebut melibatkan penggunaan log hive dan teknik pemeliharaan berasaskan penyelidikan bioteknologi, yang disifatkan dapat menyokong kelestarian komuniti pertahanan.
“Ia juga dapat mendedahkan komuniti pertahanan kepada elemen-elemen pertanian pintar, latihan teknikal serta peluang keusahawanan kepada ahli BAKAT 2 RAMD, selaras dengan aspirasi Kem MADANI,” ujar beliau.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Kem Sungai Ara bagi meninjau tahap kesiapsiagaan operasi, kebajikan anggota serta menilai kemajuan inisiatif pembangunan komuniti tentera.
Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; pegawai-pegawai utama Angkatan Tentera Malaysia, KPT, USM dan sebagainya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman pula berkata, kerjasama pintar tersebut melibatkan penggunaan log sebagai perintis dalam projek koloni kelulut yang merangkumi beberapa fasa ke arah migrasi hive dan pemindahan ilmu.
“Antara fasa yang terlibat termasuk penggunaan log sebagai perintis, latihan dan pemindahan ilmu berasaskan log, serta migrasi ke hive,” katanya.
Tambah beliau, penggunaan log sebagai perintis bukan sahaja menyediakan asas kepada keberkesanan projek ini, malah turut menjadi platform latihan yang kukuh dalam proses pemindahan ilmu kepada komuniti ATM.
“Projek ini bukan sahaja dapat meningkatkan sosioekonomi komuniti di Kem ATM, malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar melalui pendebungaan dan pemeliharaan biodiversiti.
“Dengan asas yang kukuh ini, migrasi sepenuhnya kepada hive akan membawa projek ke tahap pengkomersialan dan kelestarian jangka panjang,” ujar beliau lanjut.
Abdul Rahman turut menegaskan bahawa dengan semangat kerjasama antara institusi penyelidikan, industri dan ATM, projek ini diyakini mampu menjadi model terbaik dalam memadukan inovasi sosial dan pembangunan ekonomi lestari.
Teks: Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM/ Suntingan: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 74