USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MALAM SANTAPAN SETULUS KASIH MEDAN IKTIRAF SUMBANGAN DAN KERINGAT AHLI PSSCMUSM

MALAM SANTAPAN SETULUS KASIH MEDAN IKTIRAF SUMBANGAN DAN KERINGAT AHLI PSSCMUSM 1

USM PULAU PINANG, 14 Julai 2025 – Malam Santapan Setulus Kasih 2024/2025 anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Sains Malaysia (PSSCMUSM) disifatkan sebagai platform bagi menghargai sumbangan dan jasa semua ahli persatuan sepanjang sidang akademik.

Bertemakan “Seribu Kenangan, Sejambak Penghargaan”, majlis berkonsepkan busana tradisional klasik ini telah menghimpunkan seramai 153 tetamu yang terdiri daripada ahli-ahli PSSCMUSM Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan, tenaga pengajar, alumni dan wakil-wakil kelas latihan PSSCM Pusat Latihan Bukit Gelugor, Balik Pulau, serta Institut Pendidikan Guru Malaysia Pulau Pinang.

Hadir merasmikan majlis itu ialah Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Mejar Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim, yang turut merakamkan penghargaan terhadap semangat jitu dan dedikasi ahli PSSCMUSM dalam menjunjung nilai warisan dan jati diri bangsa.

Dalam ucapannya, beliau berkata bahawa majlis seperti ini menjadi medan mengukuhkan ukhuwah, membina jaringan silaturahim, serta menyemai kecintaan terhadap warisan budaya yang kian ditelan arus zaman.

MALAM SANTAPAN SETULUS KASIH MEDAN IKTIRAF SUMBANGAN DAN KERINGAT AHLI PSSCMUSM 2

“Saya amat menyokong penglibatan mahasiswa dalam aktiviti seperti ini. Ilmu bukan hanya tertakluk dalam bilik kuliah, tetapi juga diperkaya melalui pengalaman luar kelas yang membentuk karakter dan keperibadian seorang insan terpelajar.

“Tahniah juga diucapkan kepada semua peserta yang hadir atas penglibatan dan kesetiaan anda terhadap perjuangan Seni Silat Melayu. Semoga anda semua akan terus menjadi pejuang warisan bangsa,” tambah beliau.

Sementara itu, Penasihat 1 PSSCMUSM merangkap Ketua Penyelaras Kokurikulum, Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Hafiz Ab Majid pula turut membentangkan sorotan aktiviti PSSCMUSM dan pembentangan prestasi pelajar kokurikulum Seni Silat Cekak Malaysia.

Majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian Anugerah Dekan Cekak kepada pelajar cemerlang setiap peringkat bagi kedua-dua kampus, serta penyerahan Sijil Tamat Kokurikulum Seni Silat Cekak Malaysia diberikan kepada pelajar peringkat 300 yang telah melengkapkan kokurikulum berpakej 6 unit, Seni Silat Cekak Malaysia selama 3 tahun.

“Pelajar yang mengikuti Kokurikulum Kebudayaan Seni Silat Cekak Malaysia USM bagi peringkat Level 100, 200 dan 300 bukan sekadar mempelajari ilmu seni bela diri Melayu, malah turut menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik masing-masing.

“Dalam masa yang sama, mereka diterapkan dengan elemen HEBAT dan kemahiran insaniah, serta dibentuk dengan nilai jati diri, sahsiah dan adab yang menjadi teras penting dalam membentuk mahasiswa berintegriti dan berdaya saing,” ujar beliau.

Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Naib Presiden 1 PSSCM merangkap Yang Dipertua PSSCM Cawangan Pulau Pinang, Ar. Dr. Ab Majid Ismail, yang menzahirkan penghargaan atas kesatuan, dedikasi dan semangat ahli-ahli PSSCM yang terus utuh di bumi Pulau Pinang.

MALAM SANTAPAN SETULUS KASIH MEDAN IKTIRAF SUMBANGAN DAN KERINGAT AHLI PSSCMUSM 3


“Anugerah-anugerah khas yang disampaikan kepada para tenaga pengajar adalah simbol penghormatan terhadap sumbangan mereka dalam membimbing generasi pelapis.

“Lebih penting, majlis ini menjadi jambatan mengukuhkan ukhuwah dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga Seni Silat Cekak Malaysia, yang menjadi teras kekuatan kita selama ini,” ujarnya.

Beliau menambah, perjuangan Seni Silat Cekak Malaysia di USM kini telah hampir 50 tahun dan bakal menyambut perayaan Jubli Emas pada tahun hadapan, dan ia adalah satu perjuangan memartabatkan maruah, budaya dan prinsip kehidupan bangsa Melayu.

Ab Majid berkata, melaluinya, pelajar bukan sahaja diasuh menjadi individu yang berdisiplin dan beradab, tetapi juga sebagai penyambung budaya yang mampu membawa nilai-nilai didikan Seni Silat Cekak Malaysia ke masyarakat luar.

Majlis berkenaan turut meriah dengan pelbagai acara sampingan termasuk cabutan bertuah dan pelbagai persembahan istimewa oleh ahli PSSCMUSM, antaranya sketsa bertemakan jati diri dan nilai murni serta persembahan tarian tradisional.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas sebagai tanda penghargaan kepada tenaga pengajar dan individu yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Seni Silat Cekak Malaysia di USM dan Pulau Pinang.

MALAM SANTAPAN SETULUS KASIH MEDAN IKTIRAF SUMBANGAN DAN KERINGAT AHLI PSSCMUSM 4

Pengiktirafan ini menggambarkan penghormatan tertinggi atas komitmen dan jasa mereka dalam membimbing serta memperkukuh pembangunan Seni Silat Cekak Malaysia di peringkat kampus dan negeri.

Majlis ini bukan sahaja menjadi wadah meraikan pencapaian, malah merupakan lambang penghormatan dan pengiktirafan kepada seluruh warga Seni Silat Cekak Malaysia atas sumbangan serta menjadi dorongan semangat perjuangan dalam memartabatkan warisan seni budaya bangsa.

Turut hadir ke majlis itu ialah Naib Yang Di-Pertua PSSCM Cawangan Pulau Pinang, Zafri Mohd Miar; Penasihat PSSCMUSM Kampus Kejuruteraan, Ir. Dr. Nurazreena Ahmad; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Dr. Siti Zuraidah Md Osman; YDP PSSCMUSM Kampus Induk, Muhammad Iman Daniel Muhammad Asrul; Pengarah Program, Nur Hazimah Abdul Hamid; barisan penyelia kelas-kelas latihan cawangan Pulau Pinang serta barisan tenaga pengajar PSSCM.

 

Teks/Foto: Muhammad Iman Daniel Muhammad Asrul (Pelajar Internshirp MPRC) Suntingan: Marziana Mohamed Alias 

  • Created on .
  • Hits: 128

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024