USM, TOKOH KORPORAT DATO’ SERI YUSOF TAIYOOB PERKUKUH JALINAN STRATEGIK DEMI PENDIDIKAN DAN KEBAJIKAN
PULAU PINANG, 11 Julai 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat tokoh korporat dan dermawan tersohor negara merangkap Pengarah Urusan Yusof Taiyoob Sdn. Bhd., Dato’ Seri Yusof Taiyoob, sebagai usaha memperkukuh jaringan strategik antara institusi akademik dan sektor korporat.
Delegasi USM yang diketuai oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed itu turut disertai oleh beberapa pegawai kanan universiti, termasuk yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Profesor Dr. Azlan Amran.
Kunjungan tersebut telah disambut mesra oleh dermawan berkenaan dan disertai dengan perbincangan dua hala antara USM dan pihak Syarikat Yusof Taiyoob.
Dalam sesi perbincangan itu, kedua-dua pihak menyentuh peluang kerjasama dalam bentuk penajaan pendidikan, sokongan kepada pembangunan pelajar, serta inisiatif kebajikan khusus bagi pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.
USM turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan tokoh usahawan terkenal tanahair itu terhadap universiti serta inisiatif bersama dalam membentuk generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki jati diri dan kesedaran sosial yang tinggi.
Adalah diharapkan agar jalinan strategik tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat bersama, selaras dengan agenda nasional dalam memperkasa pendidikan tinggi negara.
Teks: Sheilawanis Abdul Karim, Ketua Unit Kebajikan & OKU, BHEPA, USM/ Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 65