USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROJEK ACTIVE 2.0 DILANCARKAN DI MALAYSIA UNTUK PERTINGKAT RAWATAN KANSER SERVIKS: IPPT USM SEDIA BERI SUMBANGAN SIGNIFIKAN

PULAU PINANG, 9 Julai 2025 – Satu inisiatif di peringkat serantau berkaitan kaedah penjagaan pesakit kanser serviks yang dikenali sebagai Projek ACTIVE 2.0 telah dilancarkan di Malaysia, baru-baru ini.

Melibatkan 6 negara di Asia Tenggara, Projek ACTIVE 2.0 ini dilaksanakan dengan tujuan untuk menambah baik usaha rawatan dan menyokong proses pemulihan pesakit kanser serviks di serata Asia Tenggara.

Sebagai satu-satunya institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) yang dipilih untuk menyertai program ACTIVE 2.0 ini, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus meningkatkan usaha terutamanya dalam bidang penyelidikan, latihan dan inovasi.

Sebagai sebahagian dari inisiatif ini, IPPT USM menawarkan khidmat dua orang pakar onkologi dan juga seorang ahli fizik perubatan, di samping infrastruktur terkini yang sedia ada, sesuai dengan peranannya sebagai pusat latihan bagi khidmat ‘brachytherapy’.

Inisiatif yang diketuai Pensyarah Perubatan dan Pakar Onkologi Klinikal, Dr. Jasmin Jalil di IPPT ini juga akan meletakkan IPPT sebagai satu-satunya institusi di bawah KPT yang terlibat, yang juga merupakan 1 dari 17 pusat latihan di Asia Tenggara yang berfungsi sebagai pusat latihan yang menumpukan kepada rawatan ‘brachytherapy’ lanjutan bagi kanser serviks.

Inisiatif selama tiga tahun ini akan memberi tumpuan kepada pengukuhan sistem penjagaan kesihatan melalui latihan klinikal, peningkatan infrastruktur, dan inovasi digitalisasi, dengan matlamat untuk melebarkan akses terhadap penjagaan khusus berkualiti tinggi bagi pesakit kanser serviks dan keluarga mereka.

Dalam pada itu, kanser serviks masih menjadi cabaran besar dalam bidang penjagaan kesihatan di rantau Asia Tenggara, dengan lebih dari 69,000 kes baharu dan 38,000 kematian dilaporkan dalam tahun 2022, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Walaupun kaedah radiasi moden telah meningkatkan hasil rawatan dengan ketara, masih ada jurang dari segi akses kepada rawatan terkini dan kepakaran terlatih.

ACTIVE 2.0 berusaha merapatkan jurang ini melalui latihan perubatan lanjutan, penambahbaikan infrastruktur, dan inovasi tertumpu dalam penjagaan pesakit kanser.

“ACTIVE 2.0 adalah satu langkah penting dalam mempertingkatkan akses kepada penjagaan lanjutan di seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia,” kata Pengarah Projek ACTIVE 2.0, Paul Lee.

“Melalui projek ini, Malaysia akan meningkatkan bilangan pakar klinikal terlatih dalam bidang rawatan lanjutan kanser serviks, meningkatkan keupayaan hospital tempatan, dan akan lebih mampu memberikan sokongan kepada para pesakit dalam tempoh pemulihan mereka.

“Matlamatnya adalah untuk memberi harapan kepada semua pihak yang terpaksa berhadapan dengan kanser serviks,” katanya.

ACTIVE 2.0 akan bekerjasama dengan pusat rawatan onkologi ternama di Semenanjung Malaysia dan juga di Sabah dan Sarawak, untuk membangunkan jaringan empat Pusat Kecemerlangan (CoE) bagi rawatan kanser serviks.

Kesemua pusat ini akan menerima peralatan latihan radioterapi terkini dari projek tersebut, di samping peningkatan infrastruktur bagi menyokong proses pemulihan jangka panjang para pesakit.

Teks asal & Foto: Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM/Suntingan: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 37

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024