USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM COMPASSION OUTREACH 1.0 SEMAI NILAI PRIHATIN BERSAMA KOMUNITI ISTIMEWA

70fa7a24 731e 4568 a102 bd1ca5251eaf

PULAU PINANG, 4 Julai 2025 – Program Compassion Outreach 1.0, inisiatif utama di bawah Train to Humanity 7.0 (TTH 7.0), yang bermatlamat memperkasa interaksi inklusif bersama pelajar pendidikan khas, berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

Inisiatif yang disertai oleh 30 ahli Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR), Universiti Sains Malaysia (USM) ini berjaya mewujudkan suasana penuh makna bersama lebih 100 pelajar pendidikan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelutong, baru-baru ini.

1bff8cac f7bc 4466 811d a18667511538

Berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 10: Pengurangan Ketidaksamaan, program ini memberi fokus kepada pembinaan hubungan empati dan kefahaman antara mahasiswa USM dan komuniti pelajar istimewa.

Pelbagai aktiviti interaktif yang dijalankan berjaya mewujudkan suasana ceria di samping membuka ruang apresiasi terhadap cabaran serta keunikan mereka.

Compassion Outreach 1.0 turut menjadi manifestasi pelaksanaan inisiatif Student for Society (S4S), iaitu pendekatan berasaskan pemindahan ilmu dan pemerkasaan komuniti oleh mahasiswa.

28b447c8 c2b8 46eb b224 c2c4ec9ea25c

Jurucakap MPD ketika ditemui berkata, melalui pendekatan ini, mahasiswa bukan sahaja bertindak sebagai fasilitator, malah memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat secara langsung.

“Pendekatan dua hala ini menyemai rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan aspirasi melahirkan graduan berjiwa masyarakat,” ujar beliau.

f48a4dca c33c 4cea 92cc c092ffcfe212

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk sesi membuat roti dan kek (baking), permainan interaktif serta seminar reka bentuk poster menggunakan aplikasi Canva yang dikendalikan oleh pensyarah USM dari Pusat Pengajian Pengurusan, Dr. Nik Hadiyan Nik Azman.

Seminar tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk menghasilkan poster promosi dan memasarkan produk baking secara kreatif — satu inisiatif awal dalam memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar pendidikan khas.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Penggawa Desasiswa Restu, Dr. Lim Chee Ann, diiringi oleh Pegawai Unit Pemulihan Khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut, Nurshafiqqah Shahrudin serta Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Jelutong, Norlinda Ibrahim.

Pihak sekolah turut menyatakan penghargaan atas usaha murni ini yang dilihat mampu membina jalinan pendidikan yang lebih inklusif dan menyeluruh.

ce6d222d 5b40 4d7e a162 b6c2833da21a 

Menurut pihak sekolah, program sebegini bukan sahaja membuka ruang interaksi yang lebih luas dan terbuka kepada pelajar pendidikan khas, malah memberikan pendedahan berharga kepada mahasiswa melalui pengalaman lapangan yang tidak diperoleh di dalam bilik kuliah.

PPD Timur Laut juga menyambut baik inisiatif ini dan berharap agar kolaborasi seumpamanya dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah lain pada masa akan datang.

Penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan program ini. Kerjasama erat pelbagai pihak menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan berimpak tinggi.

Majlis penutup turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan serta sesi bergambar bersama pentadbir sekolah dan semua peserta sebagai simbol penghargaan atas komitmen bersama dalam menjayakan program ini.

Teks: Farah Natasha Saad & Anur Aliatul Aina Mohd Sihar/Suntingan: Marziana Mohamed Alias (MPRC)/Foto: Ihsan MPD Restu USM

  • Created on .
  • Hits: 124

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024