PROGRAM COMPASSION OUTREACH 2.0 USM DEKATI DAN CERIAKAN MURID PENDIDIKAN KHAS
PULAU PINANG, 2 Julai 2025 – Penganjuran program khas Compassion Outreach 2.0 (CO 2.0) berjaya menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan empati dalam kalangan pelajar Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) apabila mereka sekali lagi turun padang bagi mendekati komuniti pendidikan khas.
CO 2.0 yang menjadi kesinambungan program di bawah Train to Humanity 7.0 (TTH 7.0) dianjurkan oleh MPDR dengan tema Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 10: Pengurangan Ketidaksamaan.
Seramai 30 ahli MPDR telah menyantuni 19 murid pendidikan khas dari Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee (SKTSPR) melalui pelbagai aktiviti interaktif yang bukan sahaja menceriakan suasana, malah membina keyakinan diri murid serta memupuk kefahaman antara dua kelompok berlainan latar belakang.
Antara aktiviti utama ialah persembahan flashmob dan sesi senamrobik yang membuka tirai program dengan penuh semangat dan keceriaan, sekali gus menjadi pemangkin kepada interaksi mesra antara mahasiswa dan murid.
Program diteruskan dengan sesi bimbingan akademik yang disusun mengikut tahap tertentu, yang mana ahli MPDR membimbing murid dalam kemahiran asas membaca, selain turut menyerahkan kit akademik bagi menyokong pembelajaran murid khas ini.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Penggawa Desasiswa Restu, Dr. Lim Chee Ann. Turut hadir, Penolong Kanan SKTSPR, Mariani Ahmad Basri dan Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SKTSPR, Mohd Farhan Mohd Aizudin.
Dalam ucapannya, Lim menyatakan bahawa program ini telah mencerminkan aspirasi pelaksanaan inisiatif Student for Society (S4S), iaitu pendekatan yang menekankan pemindahan ilmu, pemangkin perubahan serta pembangunan komuniti.
“Melangkaui peranan fasilitator, siswa dan siswi USM telah berjaya mewujudkan hubungan yang tulen dan bermakna, menjadikan interaksi ini sebagai pengalaman yang memberi kesan mendalam kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Pihak SKTSPR turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan penglibatan para mahasiswa dalam mencipta pengalaman bermakna buat murid pendidikan khas.
Sebilangan guru turut menyuarakan rasa gembira melihat keterujaan murid menerima kehadiran mahasiswa, yang dianggap sebagai “abang dan kakak” yang mesra serta prihatin.
Interaksi seperti ini bukan sahaja menceriakan, malah memberikan nilai besar dalam konteks pendidikan inklusif dan pembangunan sahsiah murid secara menyeluruh.
Pihak penganjur juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang atas sokongan yang amat bermakna, sekali gus menjadikan pelaksanaan program ini lebih lancar dan berimpak tinggi. Usaha bersama ini turut memperkukuh aspirasi ke arah sistem pendidikan yang lebih terbuka dan menyeluruh.
Sebagai simbol penghargaan, pihak sekolah menerima sijil penghargaan atas kerjasama yang diberikan, disusuli sesi bergambar bersama barisan pentadbiran dan para peserta, menandakan penutup kepada sebuah program yang sarat dengan ilmu, nilai kemanusiaan dan semangat sukarelawan sejagat.
Teks: Farah Natasha Saad/Anur Aliatul Aina Mohd Sihar Suntingan : Marziana Mohamed Alias (MPRC)
Foto: Ihsan MPD Restu USM
- Created on .
- Hits: 127