USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAINTIS MARIN USM TERIMA ANUGERAH BERPRESTIJ ANTON BRUUN MEDAL DI PARIS

5c9c9b1f 69f9 4e22 9585 287e8ff958a5

PULAU PINANG, 2 Julai 2025 – Saintis marin wanita merangkap Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai sekali lagi mencipta nama di persada antarabangsa.

Terbaharu, Aileen telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij Anton Bruun Medal, salah satu pengiktirafan antarabangsa tertinggi dalam bidang sains lautan yang mengiktiraf dedikasi beliau terhadap penyelidikan samudera dan lautan, sekali gus mengangkat nama USM dan Malaysia di arena global.

Anugerah berprestij ini telah disampaikan kepada beliau bersempena 33rd Session of the Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC) Assembly di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), di Paris baru-baru ini.

1c2e2c42 134d 4f72 9c2d e366b216e1c1

Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan Aileen Tan dalam bidang pengurusan dan pemuliharaan ekosistem marin, malah turut membuktikan keupayaan USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang unggul dalam penyelidikan bertaraf dunia.

Bersempena dengan pengurniaan pingat tersebut, Aileen Tan turut menyampaikan syarahan berprestij Anton Bruun Memorial Lecture bertajuk “Menjana Penyelesaian Lautan Secara Bersama: Memperkasa Komuniti Pesisir Pantai melalui Integrasi Sains dan Polisi.”

Dalam syarahannya, beliau menekankan keperluan kritikal agar sains dimanfaatkan demi kesejahteraan manusia sejagat, bukan semata-mata untuk komuniti saintifik, selain turut menggesa pelaksanaan pendekatan menyeluruh yang merangkumi seluruh lapisan masyarakat dalam tadbir urus lautan yang mampan.

“Sains menghubungkan manusia. Manusia pula terhubung dengan alam semula jadi,” ujarnya penuh komited di hadapan komuniti global, sambil menyeru kerjasama rentas disiplin dan sektor bagi memastikan penyelesaian lautan yang inklusif dan mampu dilaksanakan, dengan rakyat sebagai teras bagi setiap usaha yang dilakukan.

Sebagai peneraju dalam pemuliharaan marin berasaskan komuniti dan akuakultur lestari, Aileen Tan turut berkongsi kisah-kisah kejayaan hasil kerjasama beliau bersama komuniti pesisir pantai di Malaysia, yang mana sains telah dimanusiakan, memberi impak nyata dan mencipta nilai yang diterjemahkan melalui peningkatan sumber pendapatan, pemerkasaan gender serta penjagaan ekosistem secara berterusan.

Daripada inisiatif penternakan tiram sehinggalah kepada keusahawanan eko-belia, beliau turut menegaskan kepentingan untuk mengutamakan rakyat, menyampaikan maklumat secara ringkas dan jelas serta komunikasi yang berimpak.

38164478 13d8 4d27 a4f5 188da1bc9e9d

“Paling utama, kita perlu membina kepercayaan dan kekal setia kepada misi dan visi dalam merealisasikan segala usaha,” katanya.

Pendekatan beliau yang praktikal dan berakar dalam budaya tempatan dan pemindahan ilmu itu telah menarik perhatian global sebagai model tindakan lautan yang berkesan dan inklusif.

Dalam pada itu, ditubuhkan pada tahun 1970, Anton Bruun Medal diwujudkan bagi memperingati tokoh oseanografi terkemuka dari Denmark dan Pengerusi pertama Suruhanjaya tersebut, iaitu Dr. Anton Frederick Bruun.

Pingat ini dianugerahkan kepada individu yang telah menyumbang kepada kemajuan penting dan signifikan dalam bidang kajian pepejal bumi, oseanografi fizikal dan kimia, meteorologi serta biologi marin bersempena IOC Assembly yang diadakan setiap dua tahun sekali.

64e860ce aba6 44d4 a644 f5be843deafc

Anton Bruun Medal juga mengiktiraf sumbangan cemerlang individu dalam memajukan bidang sains marin.

Penganugerahan ini bukan sahaja merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi Aileen Tan selama beberapa dekad dalam bidang sains marin dan pembangunan komuniti pesisir pantai, tetapi turut melambangkan peranan Malaysia yang semakin menyerlah dalam agenda lautan global di bawah United Nations Decade of Ocean Science for Sustainable Development.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai

  • Created on .
  • Hits: 77

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024