USM KUKUH JALINAN KOMUNITI SUNGAI NIBONG MELALUI INISIATIF KAMPUNG ANGKAT MADANI
USM, 25 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi peneraju dalam pembangunan komuniti dengan penganjuran Sesi Meet & Greet Naib Canselor USM bersama wakil komuniti Sungai Nibong yang berlangsung di Bilik Persidangan Canselori 1, Kampus Induk USM, petang ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkesempatan meluangkan masa dalam sesi santai berkenaan dan berbincang bersama barisan wakil komuniti dari Sungai Nibong.
Pertemuan itu membuka ruang perbincangan menyeluruh mengenai potensi pelaksanaan Projek Kampung Angkat Madani, sebuah inisiatif yang menyasarkan penglibatan aktif universiti dalam membantu membangun dan memajukan komuniti setempat.
Dalam ucapannya, Abdul Rahman menyeru seluruh warga USM dan komuniti Sungai Nibong agar memberikan sokongan padu terhadap inisiatif Projek Kampung Angkat Madani yang sedang dirancang bersama.
“Komitmen dan kerjasama setiap pihak amat penting agar segala gerak kerja dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan menyeluruh. Saya berharap projek ini dapat digerakkan secepat mungkin demi manfaat bersama,” ujarnya.
Projek Kampung Angkat Madani merupakan antara langkah strategik pendekatan USM dalam memimpin, menyumbang dan memperkasa masyarakat melalui ilmu, kepakaran dan inovasi para cendekiawan universiti.
Usaha ini turut menyokong agenda nasional Malaysia Madani yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan, nilai kemanusiaan dan pembangunan mampan berasaskan kolaborasi.
Sesi dialog dua hala yang berlangsung turut membincangkan beberapa cadangan awal melibatkan pembangunan fizikal dan pelaksanaan program kemasyarakatan yang akan dijalankan dalam masa terdekat.
Antaranya termasuk menaik taraf Pusat KAFA Surau An-Nur, membangunkan Gelanggang Serbaguna/Futsal di Sungai Nibong Kecil, program-program belia dan Karnival Kampung Angkat Madani 2025.
Ia merangkumi aspek kebajikan, keperluan prasarana serta aktiviti sosial yang bertujuan meningkatkan taraf hidup dan keterlibatan komuniti secara holistik.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform dialog yang konstruktif, malah mencerminkan aspirasi USM sebagai universiti yang bukan sahaja menabur bakti melalui pendidikan dan penyelidikan, tetapi juga melalui pemerkasaan komuniti yang berteraskan nilai dan keprihatinan sejagat.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Jaringan Masyarakat, Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat USM, Profesor Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak; Wakil Pengurusan Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil, Tuan Haji Roslan Mohamed dan Tuan Haji Abdul Jaafar Abdul Talip; Wakil Pengurusan Surau An-Nur Sungai Nibong Besar, Tuan Haji Moktar Mohamad dan Encik Abdul Hamid Mydin; Wakil Belia Sungai Nibong, Encik Khairil Anwar Roslan; Wakil Pertubuhan Alumni Mahasiswa Pulau Pinang (AMPP), Encik Hanafi Jaharudin serta ketua-ketua jabatan USM.
Teks: Muhammad Iman Daniel Muhammad Asrul (Pelajar Latihan Industri MPRC)
Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 79