MAJLIS RAMAH MESRA MAHASISWA ANAK MELAKA USM SEMAI SEMANGAT KENEGERIAN DI PERANTAUAN
USM, PULAU PINANG 24 Jun 2025 – Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa Anak Melaka, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) telah berlangsung dengan penuh keakraban dan semangat kekitaan di Kompleks Cahaya Seni (KOMCA), USM, baru-baru ini.
Program yang diadakan khusus buat pelajar-pelajar negeri Melaka ini bukan sahaja menjadi wadah mempererat silaturahim sesama anak negeri di perantauan, malah turut menjadi medan untuk menyemai rasa bangga terhadap asal-usul dan jati diri sebagai anak Melaka.
Dalam majlis tersebut, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kerajaan negeri Melaka sentiasa mengiktiraf anak muda dan mengutamakan pendidikan.
“Kerajaan negeri Melaka mengiktiraf dan memandang serius terhadap perkembangan pendidikan, terutamanya bagi generasi anak muda. Hal ini kerana masa depan pembangunan Melaka terletak di tangan anak-anak muda negeri Melaka,” ujar beliau.
Beliau yang juga hadir sebagai wakil kepada Ketua Menteri Melaka turut menyeru anak-anak negeri Melaka yang telah berjaya berada di perantauan untuk pulang ke tanah asal bagi menabur bakti dan menyumbang kepada pembangunan negeri Melaka.
Hadir sama ke majlis itu ialah Penasihat Utama Perkumpulan Anak-Anak Negeri Melaka USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim, yang turut mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USM.
Beliau dalam ucapannya turut mengajak semua mahasiswa anak Melaka untuk terus aktif menyumbang kepada komuniti USM, memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dan tidak gentar untuk menjadi pemangkin perubahan bagi menjadi duta kepada negeri Melaka yang bijak, berintegriti dan berwawasan.
Dalam pada itu, Yang Dipertua PURNAMA USM, Ahmad Irshad Rostani turut mengambil peluang untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak universiti, khususnya Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir Dr. Abdul Rahman Mohamed atas sokongan yang berterusan terhadap program mahasiswa.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak TAPEM dan Kerajaan Negeri Melaka atas kesudian bekerjasama dan hadir bersama-sama mahasiswa di USM untuk berinteraksi.
Majlis turut diserikan dengan jamuan makan malam yang menjadi ruang santai dan diteruskan dengan sesi dialog terbuka bersama wakil Kerajaan Negeri Melaka, yang memberi peluang kepada para mahasiswa untuk bertanya soalan, berkongsi pandangan dan mendapatkan maklumat berkaitan peluang serta sokongan negeri terhadap mahasiswa.
Melalui majlis seumpama ini, bukan sahaja hubungan pelajar sesama pelajar dapat dieratkan, malah semangat kecintaan terhadap negeri Melaka yang kaya dengan sejarah, budaya dan warisan bangsa dapat terus dipupuk dan diperkukuh dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir ke majlis itu ialah Mantan Ketua Menteri Melaka Ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi, Melaka, Datuk Haji Rosli Abdullah; Pengurus Besar TAPEM, Abdul Aziz Baba; wakil Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Luqman Jasni; YDP Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPP), Mohd Arif Esa; Yang Dipertua PURNAMA USM, Ahmad Irshad Rostani; dan Pengarah Program, Nur Iyazi Batrisyia Kamaruddin.
- Created on .
- Hits: 94