PENYERAHAN BUKU UNDANG-UNDANG PERKAYA SUMBER ILMU DI USM
USM PULAU PINANG, 11 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menerima sumbangan ilmiah berharga melalui penyerahan naskhah sulung buku undang-undang bertajuk “Directors & Officers Liability Insurance: Selected Articles, Cases and Materials” oleh JJ Chan, Rakan Kongsi Pengurusan firma guaman terkemuka, Tetuan CBE (Chan Ban Eng & Co).
Majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canselori II itu menyaksikan Penasihat Undang-Undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi, mewakili universiti bagi menerima sumbangan naskhah istimewa tersebut, yang turut diiktiraf sebagai penerbitan pertama seumpamanya di Asia Pasifik – atau sekurang-kurangnya di Malaysia – dalam bidang khusus tersebut.
Buku ini merupakan koleksi artikel, kes dan bahan ilmiah terpilih yang mengupas secara mendalam isu liabiliti pengarah dan pegawai syarikat dari sudut perundangan serta insurans, menjadikannya sumber rujukan yang sangat relevan dan eksklusif dalam landskap perundangan masa kini.
Menjadikan sumbangan ini lebih istimewa adalah hakikat bahawa naskhah tersebut tidak dijual secara komersial, malah diterbitkan khas untuk tujuan akademik dan penyelidikan. Ia merupakan antara usaha aktif JJ Chan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu, pendidikan dan pemahaman undang-undang secara lebih meluas dalam kalangan komuniti akademik.
USM menjadi universiti pertama yang menerima penghormatan untuk memiliki naskhah ini, sekaligus menandakan pengiktirafan terhadap peranannya sebagai institusi yang aktif dalam bidang penyelidikan dan pendidikan perundangan.
Turut diserahkan dalam majlis berkenaan ialah tiga lagi karya akademik hasil tulisan JJ Chan, iaitu: Landmark Cases on Medical Negligence, Compilation of Articles for the Lloyd’s of London Webinar with CBE, dan Effectiveness of Agreed Liquidated Damages Clauses.
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Rakan Kongsi Pengurusan Tetuan CBE, wakil-wakil industri dan pegawai-pegawai USM serta para tetamu jemputan yang lain.
Penyerahan koleksi penerbitan ini bukan sahaja memperkaya sumber rujukan di USM, malah mencerminkan kolaborasi berterusan antara institusi akademik dan industri dalam memperkukuh budaya ilmu dan kecemerlangan pendidikan tinggi di Malaysia.
Suntingan: Nurhidayah Nayan, Pelajar Latihan Industri, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC) USM
- Created on .
- Hits: 151