USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERBARISAN BADAN BERUNIFORM 2025: USM PERKUKUH PENDIDIKAN HOLISTIK DAN JATI DIRI MAHASISWA

509432515 1212185857614828 7315389450920081209 n

USM PULAU PINANG, 21 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranan pendidikan holistik melalui penganjuran Program Hari Perbarisan Badan Beruniform Sidang Akademik 2024/2025 yang berlangsung dengan penuh semangat dan disiplin di Padang Kawad USM, hari ini.

509421723 1212186407614773 7551619562463439112 n

Majlis gilang-gemilang tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor USM, merangkap Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) USM dan Komandan Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (SUKSIS) USM, Kolonel (Kehormat) Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

509419958 1212186327614781 951356088214988423 n

Dalam ucapannya, Naib Canselor menekankan bahawa penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum seperti badan beruniform adalah amat penting bagi membentuk jati diri, kemahiran insaniah, dan semangat kepimpinan yang berdaya tahan.

“Program ini bukan sekadar acara tahunan, malah merupakan platform strategik untuk memupuk disiplin, kerjasama serta keterampilan mahasiswa yang holistik.

509427571 1212186477614766 1130609834149365044 n

“Universiti amat menyokong pembangunan potensi pelajar ke arah membentuk graduan berakhlak, berketerampilan dan bersedia menyumbang kepada masyarakat serta negara,” ujar beliau.

Program perdana anjuran Pusat Rancangan Kokurikulum USM tersebut melibatkan penyertaan tujuh pasukan badan beruniform utama di USM, iaitu PALAPES Darat, PALAPES Laut, PALAPES Udara, KOR SUKSIS, KOR SISPA, Pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), dan Pasukan St. John Ambulance (St. John).

Naib Canselor, tetamu kenamaan, dan para hadirin teruja dengan persembahan setiap pasukan yang menonjolkan keunggulan serta ketekalan dalam perbarisan, sekali gus memperlihatkan semangat kesukarelawanan dan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi pelbagai cabaran.

510494315 1212186097614804 7315594766726982346 n

Menurut Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Mejar Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim pula, penglibatan mahasiswa dalam badan beruniform kini turut mendapat pengiktirafan pihak kementerian melalui beberapa inisiatif penting.

“Terbaharu, Kementerian Pertahanan menawarkan kuota khas untuk Pegawai Kadet PALAPES yang ditauliahkan dan tamat pengajian bagi diserap sebagai Pegawai Graduan dalam skim perkhidmatan tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Malah, pegawai kadet turut menikmati kenaikan kadar elaun dan saguhati latihan bermula Januari 2025,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, semua kemudahan ini memberi nilai tambah serta menyokong kebolehpasaran graduan yang aktif dalam badan beruniform.

510463692 1212185937614820 3479749224456876986 n

Beliau turut menekankan bahawa program ini merupakan wadah strategik untuk menyemai nilai murni, memperkukuh kepimpinan dan jati diri mahasiswa.

“Saya percaya penglibatan aktif dalam badan beruniform bukan sahaja menambah nilai kepada pengalaman pelajar, malah mematangkan karakter mereka dalam menangani cabaran masa hadapan. Mahasiswa akan lebih peka terhadap isu keselamatan, sosial dan tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat,” katanya.

509316630 1212185920948155 1042804290601611153 n

Sementara itu, Pengarah Projek, Pegawai Kadet Kanan Puteri Nur Ain Megat Hasbuddin berkata, kerjasama padu daripada semua pasukan badan beruniform dan jawatankuasa pelaksana telah menjadi tunjang kejayaan penganjuran program ini.

“Barisan generasi muda yang kita saksikan hari ini adalah simbol kesiapsiagaan mereka untuk menyahut cabaran masa depan.

509419370 1212185947614819 3580775782751286438 n

510957486 1212186424281438 8688898148366411634 n

“Semoga program ini menjadi pemangkin kepada usaha membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga berwibawa dalam memimpin,” ujarnya penuh bangga.

Turut hadir bersama ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM merangkap Komandan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam  USM, Penolong Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam) Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; dan Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, Kampus Kejuruteraan, USM, Mejar (Kehormat) Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor PSSTUDM.

509430636 1212186387614775 3855436175479032473 n

Melalui inisiatif seperti ini, USM terus menzahirkan komitmen sebagai institusi APEX dalam melahirkan graduan seimbang yang memimpin ke hadapan – Kami Memimpin (We Lead).

Teks: Nur Athirah Md Salleh, pelajar latihan industri Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC) USM/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 249

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024