CADDMedChem 2025 PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU DALAM PENEMUAN UBAT BERASASKAN KOMPUTER DAN KIMIA PERUBATAN
USM PULAU PINANG, 19 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Universitas Padjadjaran (UNPAD) dan Persatuan Bioinformatika dan Biodiversitas Indonesia (MABBI) telah menganjurkan Seminar dan Bengkel Computer-Aided Drug Design and Medicinal Chemistry 2025 (CADDMedChem 2025) selama tiga hari bermula pada 17 hingga 19 Jun 2025 di kampus induk USM, Pulau Pinang.
Majlis penutupan seminar dan bengkel tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab, yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut, khususnya Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, dan rakan-rakan kolaborasi.
“Sepanjang tempoh tiga hari yang lalu, kita telah menyaksikan suatu himpunan yang amat bermakna, mempertemukan kecemerlangan ilmu pengetahuan, kepakaran bidang berkaitan, serta kemajuan teknologi terkini.
“Penganjuran CADDMedChem 2025 jelas mencerminkan aspirasi untuk memperkukuh budaya pembelajaran secara kolaboratif serta memperhebat kemajuan dalam bidang sains,” kata Habibah dalam ucapannya.
Menurutnya lagi, “USM kekal teguh dalam komitmennya untuk menerajui dan mendokong inisiatif seumpama ini. Harapan kami agar acara ini bukan sekadar penutup, tetapi menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama yang lebih kukuh, cetusan idea penyelidikan baharu, dan satu perjalanan bersama menuju kemajuan saintifik demi kesejahteraan masyarakat sejagat.”
Sementara itu, majlis pembukaan disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Madya Dr. Nurzalina Abdul Karim Khan, yang menyifatkan program ini bukan sekadar seminar biasa, malah menjadi pemangkin kepada kerjasama serantau yang berterusan.
“Acara ini bukan sekadar sebuah bengkel atau seminar semata-mata — ia merupakan sebuah platform kerjasama serantau, satu manifestasi penghargaan terhadap inovasi, serta lambang komitmen bersama dalam memajukan penemuan ubat melalui pendekatan kimia pengiraan dan kimia perubatan,” kata Nurzalina.
CADDMedChem 2025 menghimpunkan peserta daripada pelbagai institusi dalam dan luar negara termasuk Malaysia, Indonesia, dan Singapura yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah, penyelidik, dan ahli akademik.
![]() |
![]() |
Ia bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang reka bentuk ubat berasaskan komputer dan kimia perubatan melalui pengaplikasian teknologi terkini.
CADDMedChem 2025 diisi dengan bengkel amali selama dua hari dan seminar sehari yang menumpukan kepada perbincangan mengenai kecerdasan buatan (AI), simulasi molekul, dan pendekatan pengiraan lanjutan dalam penemuan ubat.
Antara pengisian utama termasuklah sesi bengkel Molecular Docking dan Molecular Dynamics serta pembentangan ucaptama dan syarahan jemputan oleh pakar dalam dan luar negara.
CADDMedChem merupakan acara tradisi seminar tahunan yang telah bermula sejak tahun 2003, dan kembali selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019 sebelum pandemik COVID-19.
Edisi pada kali ini memperlihatkan keterlibatan industri melalui penyertaan syarikat penaja utama seperti Shimadzu Malaysia dan Perkin Elmer Malaysia yang mengadakan pameran teknologi pada hari seminar di Kompleks Eureka, USM.
Penganjur merakamkan penghargaan kepada semua pembentang, peserta, penaja, fasilitator, dan ahli jawatankuasa atas komitmen yang tinggi dalam menjayakan acara berkenaan.
Program tersebut diakhiri dengan sesi jalinan mesra dan jamuan durian di Queensbay Waterfront, yang memberikan sentuhan budaya tempatan kepada para peserta antarabangsa.
Ternyata CADDMedChem 2025 bukan sahaja menjadi platform pertukaran ilmu, malah mengukuhkan jaringan penyelidikan serantau dalam usaha mempercepat penemuan ubat yang inovatif dan berimpak tinggi.
Teks: Pusat Pengajian Sains Farmasi USM/Suntingan: Nur Athirah Md Salleh, pelajar latihan industri Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC) USM & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 83