USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CIPTA DOMINASI GLOBAL: TIGA SDG DINOBAT TERBAIK DUNIA DALAM TIMES HIGHER EDUCATION (THE) IMPACT RANKINGS 2025

12e56438 9cdf 4dbf 8ef3 47dd4f687f55

USM PULAU PINANG, 18 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai universiti terbaik dunia dalam tiga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh), dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025 yang diumumkan di Istanbul, Turkiye, hari ini.

USM turut mengekalkan prestasi cemerlang apabila berada dalam kedudukan ke-14 terbaik dunia secara keseluruhan daripada 2,318 institusi yang dinilai dalam kalangan 125 negara, satu peningkatan ketara dalam bilangan institusi berbanding 1,963 pada tahun 2024.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menzahirkan rasa syukur atas pencapaian ini dan menyifatkannya sebagai hasil usaha bersepadu seluruh komuniti USM. 

Tegas beliau, “Walaupun laporan ini memberi tumpuan kepada pencapaian dalam penarafan global, hakikatnya amalan lestari telah lama berakar umbi dalam budaya USM.”

“Ia bukan sekadar satu usaha untuk mencapai kedudukan kukuh, tetapi merupakan sebahagian daripada identiti dan cara kerja di USM. Kini, kelestarian telah menjadi budaya yang bersepadu dalam segala aspek pentadbiran, akademik dan kehidupan kampus di USM," tambahnya.

“Justeru, kejayaan ini merupakan komitmen USM yang berterusan dalam memperjuangkan agenda pembangunan dan amalan lestari yang memberi impak nyata kepada masyarakat, negara dan dunia. Ia juga membuktikan keupayaan institusi pengajian tinggi tempatan bersaing di peringkat antarabangsa,” menurutnya lagi.

Lebih membanggakan, USM mengekalkan kedudukan nombor satu dunia bagi SDG 16 selama empat tahun berturut-turut (2022–2025), sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai peneraju dalam memperjuangkan keadilan, tadbir urus yang baik, serta institusi yang berintegriti.

Sebanyak 65% daripada pencapaian USM berada dalam kelompok 100 teratas dunia, termasuk dalam SDG 2 (Tiada Kelaparan), SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 5 (Kesaksamaan Gender), SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 7 (Tenaga Bersih dan Mampu Milik), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 14 (Hidupan di Laut) dan SDG 15 (Hidupan di Darat), selain SDG 1, SDG 16 dan SDG 17 yang berada di kedudukan nombor satu dunia.

THE Impact Rankings merupakan penarafan global yang menilai pencapaian universiti berdasarkan penglibatan mereka terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui elemen akademik, penyelidikan, tadbir urus, dan jaringan komuniti.

Sehubungan dengan pencapaian ini, USM sekali lagi membuktikan peranannya sebagai makmal hidup pembangunan lestari, yang menyumbang secara aktif kepada transformasi sosial, ekonomi dan alam sekitar di peringkat tempatan mahupun global.

Pencapaian bersejarah ini juga merupakan terjemahan kepada Visi dan Agenda APEX USM.

Sumber: Kenyataan Media USM (18 Jun 2025) disediakan oleh ChM. Dr. Normaliza Abdul Manaf, Penyelaras Kampus Sejahtera, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM   

  • Created on .
  • Hits: 147

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024