USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FESWA’25: MEMARTABAT WARISAN DIKIR BARAT KE PERINGKAT LEBIH TINGGI

WhatsApp Image 2025 06 16 at 16.48.24 7b3f5c82

USM PULAU PINANG, 15 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkasa seni warisan negara melalui penganjuran Festival Warisan Dikir Barat 2025 (FESWA’25) yang berlangsung dengan penuh gemilang dan sarat nilai budaya, malam tadi.

Hampir 2,000 penonton membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) untuk menyaksikan Festival berbentuk pertandingan ini yang dianjurkan oleh Himpunan Anak-anak Kelantan USM (HAAKUSM).


WhatsApp Image 2025 06 16 at 16.48.24 5d47c0bc

Program tersebut menghimpunkan mahasiswa dari enam (6) Universiti Awam iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan USM sebagai tuan rumah.  

Ternyata Festival ini menjadi satu platform kesenian yang amat sesuai untuk mengangkat martabat dikir barat dan wayang kulit sebagai warisan seni bangsa yang tidak ternilai.


WhatsApp Image 2025 06 16 at 16.48.25 b08eb71b

Bertemakan Semarakkan Warisan Kita, FESWA’25 telah dirasmikan oleh Pemegang Amanah Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN), Dato’ Haji Abdullah Yakub.  

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Kebudayaan, Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya, Pusat Pembangunan Pelajar (PPP), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Murshid Md Hussain mewakili Pengarah PPP BHEPA.


WhatsApp Image 2025 06 16 at 16.48.24 46d6f947

Dalam ucapannya, Abdullah menekankan betapa pentingnya dikir barat dipelihara dan disemarakkan dalam kalangan generasi muda.

Beliau turut menyentuh pengalaman peribadinya dalam usaha melakukan pembaharuan (islah) terhadap bentuk dan kandungan persembahan dikir barat sewaktu menerima amanah daripada almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, dikir barat suatu masa dahulu sering dikaitkan dengan senikata yang tidak membina dan bersifat kontroversi, namun kini telah melalui reformasi agar menjadi medium yang mendidik serta menyampaikan mesej bermanfaat kepada masyarakat.

“Melalui Festival sebegini juga, nilai-nilai seni tidak hanya terpelihara, malah terus berkembang sebagai elemen penting dalam pembinaan jati diri mahasiswa dan pembangunan masyarakat yang lebih harmoni dan berbudaya,” jelasnya.

FESWA’25 dianjurkan dengan objektif utama untuk menyemarakkan rasa apresiasi dalam kalangan mahasiswa terhadap seni warisan seperti dikir barat dan wayang kulit, sekaligus memupuk minat dan kefahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan menjaga budaya bangsa.

“Ini selaras dengan aspirasi ‘Balanced’ agenda HEBAT USM, khususnya dalam aspek Apresiasi Seni yang menekankan kepentingan nilai budaya dalam pembangunan pelajar yang holistik,” ujar Murshid.

Tambahnya, “Selain itu, Festival ini turut memberi penekanan kepada aspek etika dan profesionalisme kerja dalam kalangan mahasiswa, dengan memberi ruang kepada mereka untuk mengurus dan melaksanakan program berskala besar yang melibatkan kerjasama dengan universiti luar serta agensi luar kampus.”

Melalui penyertaan aktif seramai 94 orang Sekretariat, FESWA’25 menjadi medan latihan terbaik untuk mahasiswa mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi, dan pengurusan acara.


WhatsApp Image 2025 06 16 at 16.48.24 33430949

Sementara itu, Pengarah Projek FESWA’25, Nik Nazmi Amin Nik Aziz dalam ucapannya berkata, FESWA 2025 pada kali ini membawa misi penting dalam memastikan seni ini terus hidup dan dihargai generasi muda dalam arus pemodenan.

Menurutnya, ia bukan sekadar sebuah Festival seni, malah ia merupakan ruang untuk memupuk rasa cinta terhadap warisan budaya, memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan agensi kebudayaan, serta memperlihatkan kesungguhan mahasiswa dalam melestarikan warisan bangsa.

Persembahan daripada setiap pasukan bukan sahaja dinilai dari segi kreativiti dan penguasaan seni, tetapi juga dari aspek mesej, keselarasan dan kesantunan bahasa.


WhatsApp Image 2025 06 16 at 16.48.24 f135bd2c

Dalam pertandingan dikir barat yang menjadi kemuncak acara, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menampilkan persembahan yang bertenaga dan memukau, sekali gus dinobatkan sebagai Johan keseluruhan FESWA’25.


WhatsApp Image 2025 06 16 at 16.48.24 0b68a0b0

Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala USM pula meraih tempat ketiga, mempertahankan maruah selaku tuan rumah Festival.

Turut hadir bersama ialah Pengurus Kolaborasi dan Strategik, Yayasan Perkasa Siswa, Zulkifli Che Hussin; Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, Mohd Azam Juhari; Penasihat HAAKUSM, Dr. Muhammad Zuhair Zainal dan Mohd Zuaril Akimi Mohd Shaari; YDP Majlis Perwakilan Pelajar USM, SA 2024/2025, Muhammad Arif Esa; pegawai BHEPA, dan tetamu jemputan lain.

Dengan penganjuran berterusan seperti FESWA’25, USM dan rakan universiti lain berjaya membuktikan bahawa seni warisan seperti dikir barat bukan hanya tinggalan sejarah, tetapi adalah wadah penting dalam memperkukuhkan identiti bangsa yang wajar dipelihara dan diperkasakan untuk generasi akan datang.

Teks: Nur Athirah Md Salleh, pelajar latihan industri Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC) USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Unit Media & Penerbitan BHEPA USM

  

  • Created on .
  • Hits: 97

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024