PPUSMB, USM PERKASA KOMUNITI MELALUI PERKHIDMATAN KESIHATAN DAN BANTUAN ASAS HAYAT DI PMR PERAK
LUMUT, PERAK, 13 Jun 2025 — Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menunjukkan komitmen padu dalam memperkasa komuniti melalui penyertaan aktif dalam Program MADANI Rakyat (PMR) yang berlangsung di Lumut Waterfront, Lumut, Perak.
Sebagai institusi perubatan yang berteraskan pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat, PPUSMB telah menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan secara percuma kepada pengunjung, sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam memperluas akses kepada penjagaan kesihatan dan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk:
🔹 Saringan Kesihatan – Pemeriksaan asas seperti tekanan darah, paras glukosa, indeks jisim badan (BMI), dan lain-lain bagi mengesan awal risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
🔹 Pendidikan Kesihatan – Penyampaian maklumat interaktif dan mesra komuniti mengenai penjagaan kesihatan harian, pemakanan seimbang, serta kepentingan pemeriksaan berkala.
🔹 Pameran Brakiterapi – Penerangan mengenai salah satu kaedah rawatan kanser iaitu brakiterapi, yang disampaikan oleh jururawat dari PPUSMB bagi meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap rawatan moden dan keberkesanannya.
🔹 Demonstrasi Bantuan Asas Hayat – Sesi interaktif yang mengajar orang awam teknik Resusitasi Kardio Pulmonari (CPR) dan bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan, sebagai langkah meningkatkan keupayaan komuniti bertindak dalam situasi kritikal.
Menurut Law Kim Sooi dari PPUSMB, program seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan peranan universiti dalam khidmat sosial dalam komuniti, tetapi juga memberi peluang untuk petugas kesihatan berinteraksi terus dengan masyarakat.
Program MADANI Rakyat yang dianjurkan kerajaan merupakan platform strategik untuk menyampaikan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara berpusat, dengan matlamat mendekatkan rakyat kepada pelbagai inisiatif pembangunan negara yang bersifat inklusif, mampan dan berteraskan nilai.
PPUSMB terus komited dalam menyokong agenda Malaysia MADANI demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Teks: Ermarina Kamaruddin/Suntingan: Divanee A/P Chandrasegr & Law Kim Sooi, PPUSMB USM
- Created on .
- Hits: 68