USM JUARA PERTANDINGAN HUAWEI ICT 2024-2025 PERINGKAT GLOBAL BAGI TREK INOVASI
USM PULAU PINANG, 6 Jun 2025 – Pasukan TehTarikTech dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah meraih Hadiah Pertama dalam Pertandingan Huawei ICT 2024-2025 Peringkat Global Akhir bagi Trek Inovasi.
Pasukan tersebut terdiri daripada tiga pelajar Tahun 3 dari Pusat Pengajian Sains Komputer, iaitu Bok Wei Hong (ketua pasukan), Lim Miin Ning dan Naomi Tham Kah Mun, di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Chong Yung Wey.
Sebelum melangkah ke pentas antarabangsa, mereka telah menempah kejayaan sebagai juara di peringkat kebangsaan dan melayakkan diri untuk mewakili Malaysia ke peringkat rantau Asia Pasifik, yang mana mereka turut berjaya merangkul Hadiah Pertama.
Dalam pertandingan akhir, mereka telah memperkenalkan sebuah inovasi bernama "Third Eye Shield", iaitu sebuah sistem pemantauan yang direka khas untuk menangani cabaran peningkatan populasi warga emas di seluruh dunia.
Sistem ini menggabungkan Model Bahasa Besar (LLM) Deepseek dan teknologi perkomputeran awan Huawei bagi mengesan insiden kecemasan seperti jatuh, serta memberikan amaran awal kepada penjaga.
Selain aspek keselamatan, inovasi ini turut menumpukan kepada kesejahteraan mental warga emas dan penjaga mereka melalui interaksi pintar yang mesra pengguna.
Inovasi tersebut juga menekankan penggunaan AI secara beretika dan perlindungan privasi data pengguna.
Pendekatan inovatif mereka menyokong agenda SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik) dan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) dengan menjadikan teknologi penjagaan canggih mudah diakses oleh warga emas serta meningkatkan maruah dan kualiti hidup melalui pengesanan awal pelbagai kecemasan perubatan.
Kemenangan tersebut sekali lagi membuktikan keupayaan anak muda Malaysia dalam mencipta inovasi teknologi berimpak tinggi yang mampu membawa manfaat kepada masyarakat global.
Teks: Naomi Tham Kah Mun & Profesor Madya Dr. Chong Yung Wey, Pusat Pengajian Sains Komputer USM/Foto: Pasukan TehTarikTech
- Created on .
- Hits: 51