PENINGKATAN KES KERACUNAN VAPE DISYAKI MENGANDUNGI BAHAN TERLARANG CETUS KEBIMBANGAN KESIHATAN AWAM DI MALAYSIA
USM PULAU PINANG, 5 Jun 2025 – Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia (USM) mendedahkan peningkatan mendadak kes keracunan akibat pendedahan kepada vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang sejak tahun 2022, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap ancaman baharu dalam kalangan generasi muda Malaysia.
Dapatan ini membuktikan keperluan mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera mengekang lebih ramai lagi anak bangsa Malaysia daripada menjadi mangsa penagihan bahan terlarang, khususnya dadah jenis baharu seperti kanabinoid sintetik yang dikesan dalam cecair vape.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh PRN baru-baru ini, terdapat sebanyak 76 panggilan berkaitan kes pendedahan kepada vape disyaki mengandungi bahan terlarang telah direkodkan antara tahun 2020 hingga 2024.
“PRN melihat lonjakan ketara bermula pada tahun 2022 dengan 17 kes, iaitu 65% daripada jumlah kes vape tahun tersebut. Trend ini berterusan dengan 27 kes pada 2023 (79%) dan 26 kes pada 2024 (68%),” menurut kenyataan media tersebut.
“Didapati majoriti kes melibatkan produk yang dikenali sebagai Magic Mushroom Vape, dengan 81% daripada kes membabitkan produk tersebut.
“Apa yang membimbangkan, 41% daripada kes melibatkan remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun, manakala 53% melibatkan golongan awal dewasa berumur sekitar 20 tahun,” lapor kenyataan media tersebut.
Gejala yang dialami oleh pesakit termasuk sawan, pengsan, muntah serta gangguan psikiatri seperti halusinasi, delusi dan perubahan tingkah laku yang agresif.
“Ada kes di mana hanya satu atau dua sedutan sudah cukup untuk menyebabkan gejala serius seperti sawan dan tingkah laku tidak normal yang boleh membahayakan diri dan orang sekeliling,” jelas kenyataan media tersebut.
PRN turut menjalankan analisis terhadap beberapa sampel cecair vape yang didakwa mengandungi Magic Mushroom, dan mendapati kandungan sebenar adalah dadah sintetik berbahaya yang boleh menyebabkan keracunan teruk sehingga membawa maut.
“Ini menunjukkan betapa mudahnya produk vape dimanipulasi dan tanpa kawalan ketat, ia membuka ruang kepada penyalahgunaan dadah dalam masyarakat,” mengikut kenyataan media tersebut.
Turut ditonjolkan ialah remaja menjadi sasaran utama penjualan produk ini kerana akses mudah melalui platform dalam talian yang sukar dikawal.
Sehubungan itu, PRN menyokong penuh usaha pengharaman vape di peringkat negeri serta penguatkuasaan Akta 852 oleh kerajaan.
“Kami menggesa semua kerajaan negeri agar bersatu dan melaksanakan pengharaman penjualan produk vape dengan kadar segera demi melindungi generasi muda daripada ancaman dadah baharu yang semakin berleluasa,” tegas PRN dalam kenyataan media berkenaan.
PRN menutup kenyataan dengan menyeru tindakan segera dan bersepadu daripada semua pihak.
Fenomena ini bukan lagi isu terpencil, tetapi satu krisis kesihatan awam yang memerlukan perhatian serius.
Teks: Tan Ewe Hoe/Sumber: Kenyataan Media bertajuk “PENINGKATAN KES KERACUNAN VAPE DISYAKI MENGANDUNGI BAHAN TERLARANG SATU ANCAMAN BAHARU DI MALAYSIA” dari Pusat Racun Negara (PRN), USM
- Created on .
- Hits: 75