USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ICAP 2025: USM PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK INDUSTRI DAN KOMUNITI BAGI PEMBANGUNAN BAKAT

WhatsApp Image 2025 06 11 at 12.21.05 92db4f61

USM PULAU PINANG, 4 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan komitmen dalam memacu pembangunan bakat negara menerusi penganjuran Sesi Libatsama Industry-Community Advisory Panel (ICAP) 2025, yang diadakan di Auditorium Murad Mohd Noor, SAINS@USM.

Majlis yang menghimpunkan lebih 70 ahli panel ICAP daripada pelbagai sektor industri dan komuniti itu telah mencetuskan wacana bermakna yang memfokuskan kepada strategi pembangunan bakat masa hadapan, penyelarasan kurikulum bersama industri serta kerjasama berimpak tinggi dengan komuniti.

WhatsApp Image 2025 06 11 at 12.21.06 8b51095f

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapan pembukaan beliau, menegaskan bahawa kerjasama dengan industri dan komuniti merupakan salah satu fokus utama selaras dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025, khususnya dalam konteks penyediaan bakat terbaik negara.

Antara inisiatif strategik yang diketengahkan termasuk pelaksanaan program Inkubator Penyelidikan dan Serap-Industri KPT (MRI3) bagi sektor Elektrik dan Elektronik (E&E); program APEL Advanced Semiconductor Packaging untuk peningkatan kemahiran teknikal, serta pelaksanaan konsep “Industry in Classroom” yang mengintegrasikan kepakaran industri secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Kerjasama ini bukan sekadar untuk penyediaan latihan industri, tetapi melibatkan reka bentuk kurikulum, pemindahan pengetahuan, serta pembangunan produk dan penyelidikan bersama yang berlandaskan keperluan sebenar industri,” katanya.


WhatsApp Image 2025 06 11 at 12.21.05 e89bbc2b

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran, dalam ucapannya menekankan sejarah penubuhan ICAP dan evolusinya sejak 18 tahun lalu daripada Industry Advisory Panel (IAP) kepada ICAP, dengan memperluas penyertaan penggerak komuniti di samping wakil industri.

Beliau turut menekankan peranan ICAP sebagai platform penting dalam menilai kurikulum, merapatkan jurang kemahiran (skill gap), serta menyumbang secara langsung dalam pelaksanaan program industri-komuniti yang bersifat inklusif dan lestari.

“USM turut memperkukuh peranannya dalam menyantuni masyarakat melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi,” sebut Naib Canselor.  

“Menerusi kerangka COMPASSION (Community Programme for Sustainable Impact Mission), universiti telah melaksanakan sebanyak 42 projek libatsama komuniti sehingga Mei 2025, memberi manfaat kepada lebih 1,500 penerima.

“USM juga berjaya memperoleh dana sebanyak RM7 juta daripada TERAJU untuk pelaksanaan Program High Impact Community Project (HICP) yang menjurus kepada transformasi sosioekonomi komuniti setempat secara mampan,” jelasnya.

Tambahnya, sesi libatsama ini telah membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara USM dan pemain industri serta komuniti, dalam usaha bersama menjayakan agenda pembangunan negara yang holistik dan lestari.


WhatsApp Image 2025 06 11 at 12.21.05 11caa749

Dalam sesi libatsama bersama ahli Panel Penasihat Industri (ICAP) dan pengurusan tertinggi universiti, wakil-wakil industri telah mengambil peluang untuk berkongsi pandangan, cadangan serta teguran membina secara terbuka.

Antara isu utama yang dibangkitkan termasuklah seruan agar pihak fakulti lebih proaktif menjemput pakar industri untuk menyumbang kepakaran secara langsung, bukan sekadar melalui ceramah kerjaya tetapi juga dalam penyampaian kandungan teknikal yang relevan dengan silibus, khususnya dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.

Wakil dari industri perladangan pula menekankan keperluan untuk memperkukuh fasiliti latihan di universiti serta memperluas kolaborasi strategik antara institusi pengajian tinggi.

Mereka turut mencadangkan agar pendedahan awal terhadap dunia sebenar industri diberikan kepada pelajar seawal tahun pertama pengajian.

Sementara itu, wakil industri kimia mencadangkan agar universiti lebih giat mempromosikan kisah kejayaan pelajar dan alumni sebagai sumber inspirasi kepada pelajar sekolah dan ibu bapa, dalam usaha menarik minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).


WhatsApp Image 2025 06 11 at 12.21.06 b19f7a57

Sebagai penutup, Naib Canselor menyeru agar kerjasama ini diteruskan secara berstruktur dan konsisten, “Sekiranya pihak industri percaya kepada kualiti program USM, mereka pasti akan mencari bakat dari USM. Oleh itu, jalinan erat yang dibina hari ini perlu diteruskan demi memastikan graduan kita benar-benar bersedia untuk masa hadapan.”

Majlis diakhiri dengan sesi rangkaian strategik yang membuka lebih banyak peluang perbincangan lanjut antara ahli ICAP dan wakil pusat pengajian, menjadikan ICAP 2025 bukan sekadar pertemuan tahunan, tetapi sebagai pemangkin kepada pembaharuan yang berterusan.

Turut hadir ialah Pengarah Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil; dan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azizah Omar.

Teks: Hema Vathi Kumaraguru, pelajar latihan industri Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), USM/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 84

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024