JEJAK ILMU KE THAILAND: PELAJAR USM WAKILI MALAYSIA SERTAI BENGKEL SERANTAU AI YSEALI 2025
USM PULAU PINANG, 9 Jun 2025 – Kecerdasan Buatan (AI) kini menjadi pemangkin utama kepada perubahan sosial dan pembangunan mampan. Penglibatan pelajar di platform antarabangsa dilihat amat penting bagi memastikan suara dan inisiatif akar umbi kekal relevan dalam era digital.
Jeremy Lau Wei Han, pelajar Tahun 4, Pusat Pengajian Sains Komputer USM, telah terpilih mewakili Malaysia sebagai panelis dalam 2025 YSEALI AI FutureMakers Regional Workshop. Bengkel ini berlangsung dari 1 hingga 6 Jun 2025 di Novotel Marina Sriracha & Koh Si Chang, Chonburi, Thailand baru-baru ini.
Dengan membawa tajuk “Empowering Tomorrow: AI Innovation and Leadership for the Future,” bersama tiga lagi tokoh muda dari Filipina, Thailand dan Indonesia,Jeremy menekankan kepimpinan berteraskan nilai kemanusiaan serta kerjasama serantau dalam membentuk masa depan teknologi yang lebih inklusif dan lestari.
Jeremy yang merupakan pengasas salah satu hackathon pelajar terbesar di Asia Tenggara, Varsity Hackathon, berkongsi bagaimana inovasi boleh digerakkan oleh belia melalui pendekatan praktikal dan kolaboratif kepada lebih 60 pemimpin muda ASEAN dan Timor-Leste dengan penyertaan peserta sebanyak 50% pelajar dan 50% lagi pekerja dalam bidang AI dan STEM seperti Tik Tok dan Grab.
Di majlis yang sama, Jurucakap Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Thailand, Chris Helmkamp ketika merasmikan pembukaan bengkel katanya, kepentingan untuk memperkasa belia ASEAN dalam era digital serta memperkukuh kerjasama rentas negara dalam membentuk masa depan AI perlu dipelopori oleh golongan muda yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berteraskan nilai inklusif, kemanusiaan, dan keadilan sosial.
Dalam bengkel tersebut, Jeremy turut menunjuk cara pembangunan peralatan berasaskan AI dapat memberi panduan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia agar lebih celik teknologi dan mampu memanfaatkan potensi AI dalam komuniti setempat.
Bengkel ini dianjurkan oleh Kenan Foundation Asia dengan sokongan penuh daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat, bertujuan memperkasa belia ASEAN dalam menggunakan AI untuk manfaat sosial melalui pembelajaran kolaboratif dan eksperimen teknologi.
Antara universiti yang terlibat adalah University of Brunei Darussalam, Brunei, Bina Nusantara University, Indonesia, West YangonTechnological University, Myanmar, Marine Science Institute, University of the Philippines Diliman, School of Diplomacy and International Studies, Rangsit University, Thailand, University of Economics Ho Chi Minh City, Vietnam
- Created on .
- Hits: 81