PUSAT RACUN NEGARA TERAJUI PENERBITAN BERKAITAN KAWALAN TEMBAKAU
Penerbitan Buku Penyelidikan dan Buku Cerita Berkaitan Kawalan Tembakau: Strategi Serampang Dua Mata oleh Pusat Racun Negara
USM PULAU PINANG, 3 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM), melalui Pusat Racun Negara (PRN), terus mengukuhkan kedudukannya sebagai Pusat Kecemerlangan dalam Penyelidikan Kawalan Tembakau dengan menunjukkan komitmen tinggi dalam menerajui penyelidikan berimpak terhadap kesihatan awam di peringkat nasional dan global.
Sebagai antara institusi utama dalam bidang ini, PRN telah menerbitkan pelbagai bahan pendidikan berasaskan penyelidikan, termasuk sebuah buku ilmiah berprestij terbitan Springer bertajuk “E-cigarettes: Risk, Research and Challenges.”
Buku tersebut mengupas secara komprehensif kesan kesihatan, isu perundangan, kandungan kimia, serta impak sosial penggunaan rokok elektronik.
Ia bakal menjadi rujukan penting kepada para profesional kesihatan, penyelidik, dan pembuat dasar dalam menangani cabaran berkaitan penggunaan e-rokok.
Di samping penerbitan ilmiah, PRN turut memberi tumpuan kepada pendidikan kesihatan awam, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Melalui kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), PRN telah menerbitkan Siri Bebas Asap Rokok (Siri BAR), iaitu siri buku cerita kanak-kanak yang merangkumi 12 judul menarik.
Siri ini dibangunkan berdasarkan dapatan penyelidikan oleh The Clearinghouse for Tobacco Control (C-Tob), dan disampaikan dalam bentuk naratif yang menyeronokkan serta mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.
Buku-buku dalam siri ini mengetengahkan bahaya merokok terhadap manusia, haiwan, dan alam sekitar, seiring dengan aspirasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membentuk generasi bebas rokok yang sihat dan berpengetahuan.
Menariknya, 6 judul dalam Siri BAR telah dipamerkan dan dijual buat julung kalinya kepada orang awam di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung baru-baru ini.
Sambutan positif daripada pengunjung membuktikan bahawa masyarakat mempunyai minat yang tinggi terhadap bahan bacaan berkualiti dan berunsur pendidikan mengenai kawalan tembakau, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga.
Kedua-dua buku tersebut telah dilancarkan secara rasmi semasa majlis perasmian Persidangan Kawalan Tembakau Kebangsaan (National Tobacco Control Conference, NTCC) yang berlangsung pada 31 Mei 2025 di Universiti of Cyberjaya.
Pelancaran tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, disaksikan oleh Pengarah Pusat Racun Negara USM, Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman, dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Fauzilahyatun Mustafa.
Pelancaran itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha PRN menyumbang kepada pembentukan dasar dan penyebaran ilmu dalam isu-isu berkaitan kawalan tembakau.
Menurut Nur Azzalia, inisiatif pendidikan berasaskan penyelidikan ini mencerminkan peranan aktif institusi akademik dalam menterjemah ilmu kepada bahan yang berimpak tinggi serta mampu menyumbang kepada pembentukan dasar dan perubahan tingkah laku masyarakat.
“Langkah ini juga selaras dengan matlamat USM sebagai universiti penyelidikan bertaraf global yang sentiasa berusaha memperkukuh kerjasama strategik dan memperluaskan impak kepada komuniti menerusi pelbagai platform penyelidikan dan pendidikan,” tambahnya.
Dengan gabungan kekuatan dalam penerbitan ilmiah dan pendidikan awam, PRN terus komited dalam memperjuangkan kawalan tembakau yang lebih efektif dan inklusif, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai peneraju nasional dalam bidang kesihatan awam dan pencegahan penyakit berkaitan tembakau.
Teks: Sazaroni Md Rashid, Pegawai Farmasi, Pusat Racun Negara, USM
- Created on .
- Hits: 78