USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MEMACU PERTANIAN LESTARI: BURUNG PUNGGUK JELAPANG SEBAGAI AGEN KAWALAN BIOLOGI DI SAWAH PADI

IMG 5823

USM PULAU PINANG, 2 Jun 2025 – Satu inisiatif inovatif dalam bidang pertanian lestari dilancarkan di Pusat Penang 2030 pada 13 Mei yang lalu oleh Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Barn Owl and Rodent Research Group (BORG), Pusat Pengajian Sains Kajihayat dengan kerjasama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Projek ini dilaksanakan dengan pembiayaan penuh daripada GlobalGiving, sebuah organisasi antarabangsa berpusat di Amerika Syarikat yang menyokong usaha komuniti akar umbi dalam menangani cabaran pembangunan mampan di seluruh dunia.

Projek bertajuk “Memacu Pertanian Lestari: Peranan Burung Pungguk Jelapang dalam Menangani Masalah Haiwan Perosak di Sawah Padi” ini menekankan penggunaan burung pungguk jelapang (Tyto javanica javanica) sebagai ejen kawalan biologi bagi menangani masalah tikus sawah yang mengancam hasil padi.

IMG 5945

Tikus merupakan antara perosak utama dalam sektor tanaman padi di Malaysia dan sering menyebabkan kerugian yang besar kepada petani kecil.

GlobalGiving telah memberikan pembiayaan penuh untuk melaksanakan projek ini termasuk pembinaan dan pemasangan 20 unit kotak sarang burung pungguk jelapang, latihan kepada petani terpilih serta aktiviti pemantauan dan kesedaran komuniti.

IMG 5920

Projek ini memfokuskan kepada kawasan jelapang padi khususnya membantu golongan petani B40 ke arah amalan pertanian yang lebih mesra alam dan mampan.

Menurut Ketua Penyelidik dan Penyelaras BORG, Profesor Madya Dr. Hasber Salim, “Projek ini merupakan bukti bagaimana pendekatan berasaskan ekologi boleh menggantikan penggunaan racun tikus yang toksik dan berisiko tinggi kepada manusia, haiwan liar dan alam sekitar.

IMG 5901

“Kami amat berterima kasih kepada GlobalGiving atas kepercayaan dan sokongan dana yang telah diberikan sepenuhnya kepada projek ini,” ujarnya.

BORG (Barn Owl and Rodent Research Group) merupakan kumpulan penyelidikan yang ditubuhkan di bawah Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM.

Kata Hasber lagi, “Sudah lebih 10 tahun, BORG menjalankan kajian intensif berkaitan ekologi dan pengurusan perosak, khususnya mengenai keberkesanan penggunaan burung pungguk jelapang sebagai kaedah kawalan biologi di kawasan pertanian seperti ladang sawit dan kini diperluaskan ke sawah padi.”

IMG 5984

“Selain penyelidikan, BORG turut aktif menjalankan perkongsian ilmu kepada industri dan komuniti melalui bengkel, modul latihan, dan pembangunan teknologi seperti kotak sarang pintar bagi menyokong pemuliharaan spesies burung pemangsa tempatan ini,” jelasnya lagi.

Majlis pelancaran tersebut turut disertai oleh USAINS anak syarikat USM yang menyokong konsep kelestarian dan mempromosi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), wakil-wakil agensi kerajaan, akademik, petani tempatan, dan rakan industri yang menyokong penuh usaha ke arah pertanian lestari.

Dengan sokongan menyeluruh daripada pelbagai pihak, projek tersebut diharap menjadi perintis kepada pendekatan berasaskan alam dalam pengurusan perosak di Malaysia dan rantau ini.

Sumber: Kenyataan media bersama BORG, USM dan BERNAS/Foto: Mohd Hasrul Hamzah, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM

  • Created on .
  • Hits: 392

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024