PERKASA USM RAIKAN BUDAYA 27 ETNIK SARAWAK MELALUI MBK 2025
USM PULAU PINANG, 3 Jun 2025 – Malam Bumi Kenyalang (MBK) 2025 anjuran Perkumpulan Anak-Anak Sarawak Universiti Sains Malaysia (PERKASA USM) telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang sebagai acara kebudayaan tahunan terbesar yang mempamerkan kepelbagaian budaya etnik Sarawak.
Mengangkat tema integrasi budaya, ilmu dan kerjasama antara mahasiswa, MBK 2025 menjadi medan perpaduan yang memperkenalkan kekayaan 27 etnik Sarawak kepada warga kampus dan masyarakat umum.
Program ini berjaya menarik penyertaan daripada lapan universiti awam seluruh Malaysia, iaitu USM, UPM, UKM, UPSI, UTM, UUM, UMT dan UMPSA.
Kemuncak acara diserikan dengan persembahan bertenaga oleh artis jemputan Ara Johari yang memukau hampir 2,000 penonton yang membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar (PPP), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Dr. Hazrul Abdul Hamid, yang mewakili Pengarah PPP BHEPA; disaksikan oleh tetamu kehormat termasuk Penasihat PERKASA USM, Fadzilla Bosman; Yang Dipertua MPP USM, Muhamad Arif Esa; dan Yang Dipertua PERKASA USM, Andrian Russel Anak Zacheus Keri.
Hazrul dalam ucapannya berkata, diharapkan melalui MBK, warga kampus dan luar kampus dapat menyaksikan dan menghayati kepelbagaian kaum dan budaya yang terdapat di Sarawak yang diterjemahkan melalui tarian.
“Program sebegini turut mencerminkan usaha dan komitmen semua pihak dalam melestarikan kepelbagaian budaya yang unik dalam kalangan anak-anak Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Projek MBK 2025, Wong Kian Seng menyifatkan MBK 2025 ini sebagai satu manifestasi kecintaan terhadap identiti dan akar budaya yang diwarisi oleh generasi kita.
“Dalam dunia yang semakin global, program seperti ini menjadi wadah penting untuk kita mengekalkan kesinambungan warisan, sambil mempersembahkan nilai seni, adat dan keunikan etnik Sarawak dengan cara yang segar dan bermakna setiap tahun,” ujarnya.
UPSI dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan persembahan kebudayaan MBK 2025, diikuti UMPSA dan UTM, manakala anugerah individu turut dimenangi oleh peserta dari UPSI dan UTM.
Penganjuran MBK 2025 membuktikan iltizam PERKASA USM dalam memperkukuh ukhuwah, menyemarakkan semangat perpaduan, serta memperkasa warisan budaya Sarawak di persada nasional.
- Created on .
- Hits: 105