USM PERKUKUH PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU DENGAN UNIVERSITI CHINA MELALUI SATBBMC KE-5
USM PULAU PINANG, 29 Mei 2025 – Dalam usaha mempergiatkan pengembangan dan pengantarabangsaan Bahasa Melayu di seantero dunia lebih-lebih lagi di negara China, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) baru-baru ini telah menganjurkan dengan jayanya Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China Ke-5 (SATBBMC Ke-5) di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Beijing, China.
Seminar dwitahunan buat kali kelima itu telah berlangsung pada 22–23 Mei 2025, dan dijayakan bersama rakan-rakan penganjur iaitu Beijing Foreign Studies University (BFSU), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Education Malaysia (EM), serta Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF).
Majlis perasmian dan makan malam yang dihoskan oleh Pejabat Education Malaysia Beijing (EMB), Kedutaan Besar Malaysia di negara China telah dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke China, TYT Dato’ Norman Muhamad, dan dihadiri oleh seramai 200 tetamu yang terdiri daripada para sarjana dari Malaysia, China, Jepun dan beberapa negara ASEAN seperti Brunei, Thailand dan Singapura.
Berucap mewakili Naib Canselor USM pada majlis perasmian, Dekan PPIK USM, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, berkata, “USM sentiasa menitikberatkan keseimbangan pembangunan ilmu sains dan sastera melalui konsep SEJAHTERA yang berteraskan perkembangan insaniah dan manusiawi.”
“Justeru dalam aspek ini, terjemahan, bahasa dan budaya sesungguhnya menjadi salah satu cabang ilmu kemanusiaan yang diberikan perhatian oleh USM.
“Lebih-lebih lagi, ketiga-tiga cabang ilmu ini merupakan disiplin yang amat penting dalam agenda pemartabatan dan pengantarabangsaan bahasa Melayu,” ujarnya.
Beliau turut berkata, “Sebagai institusi yang mendukung terjemahan, bahasa, dan budaya Melayu, USM terus berusaha memperkasa bidang Pengajian Melayu di China dengan memperkukuh lagi hubungan strategik bersama BUFS serta universiti-universiti lain yang menawarkan pengajian tersebut kepada pelajar China.”
Berhubung dengan fakta bahawa SATBBMC kini memasuki penganjuran kali kelima sejak dianjurkan buat kali pertamanya pada tahun 2017 di Guangzhou, China, Jasni menyatakan, “Kejayaan penganjuran secara berterusan ini mencerminkan eratnya jalinan kerjasama dan persahabatan antara USM dan universiti-universiti di China.”
“Keteguhan hubungan ini jelas dapat dilihat melalui sokongan yang diberikan oleh universiti-universiti tersebut, misalnya terhadap program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM) USM.”
Dalam pada itu, bersempena dengan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, Duta Besar Malaysia ke China berharap agar Bahasa Melayu dapat diperluaskan penggunaannya di rantau ASEAN dalam mengukuhkan hubungan persahabatan, pendidikan, perdagangan dan pertukaran budaya.
Beliau turut menyarankan agar fakulti pembelajaran bahasa perlu mengambil peluang penggunaan Kecerdasan Buatan atau AI untuk menjadikan proses pembelajaran sesuatu bahasa itu lebih interaktif, efisyen dengan akses yang lebih meluas.
Katanya lagi dalam ucapan perasmiannya, “Ini akan merancakkan minat para pelajar untuk mendalami dan menguasai sesuatu bahasa dengan mudah dan lebih berkesan.”
Sementara itu, dalam ucapan rakaman awalnya, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, menjelaskan bahawa KPT Malaysia sedang meneliti calon yang sesuai untuk dilantik sebagai pemegang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU.
Beliau yakin bahawa individu yang bakal dilantik kelak akan menggalas tanggungjawab penting dalam memastikan usaha pengembangan dan pemerkasaan Bahasa Melayu di China terus bersifat proaktif melalui pelaksanaan program-program berimpak serta memberi manfaat kepada kedua-dua negara, Malaysia dan China.
Menurut Timbalan Presiden (Akademik dan Antarabangsa) BFSU, Profesor Zhao Gang, Bahasa Melayu merupakan jambatan penting yang menghubungkan China dan Malaysia, serta tamadun China dan tamadun Melayu.
“Maka, dalam memperkukuh Pengajian Melayu, terutamanya dalam konteks kemajuan pesat AI, perlunya untuk meningkatkan kecekapan pemprosesan bahasa, keupayaan penyebaran budaya dan komunikasi silang budaya.
“Hal ini adalah penting bagi persefahaman antara rakyat dan memperkukuh pertukaran budaya serta dialog tamadun antara China dan Malaysia,” jelasnya.
Dalam seminar tersebut, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari telah menyampaikan ucap utama 1 yang bertajuk “Pemanfaatan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Penyebaran Bahasa dan Sastera Melayu Sejagat”.
Dalam ucap utama tersebut, Hazami menyebut “dalam mendepani pembangunan teknologi bahasa yang dipacu kecerdasan buatan (AI), DBP sedang merencanakan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Digital Negara, Kementerian Digital, penyelidik di universiti dan pihak industri selaku pembangun dan pemasar teknologi.”
Beliau juga menekankan tentang kesan positif AI yang dapat meningkatkan inovasi dan kecekapan, meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, serta membantu pembangunan produk serta perkhidmatan baharu.
Dalam majlis yang sama, Duta Besar Malaysia telah melancarkan buku berjudul 'Selongkar Budaya, Bahasa dan Sosiologi dalam Terjemahan China-Melayu' yang menghimpunkan karya-karya penulis dari Malaysia dan China.
Di samping itu, beliau turut menyampaikan sumbangan majalah dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah tajaan Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi, PPIK USM kepada 11 universiti yang menawarkan pengajian Melayu di China, dan 6 universiti dari negara ASEAN yang hadir.
Enam universiti negara ASEAN yang hadir buat pertama kalinya itu adalah Universiti Brunei Darussalam, Tokyo University of Foreign Studies, National University of Singapore, Singapore University of Social Science, Prince of Songkla University, dan Thammasat University.
Majlis makan malam turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang dibawakan khas oleh mahasiswa Malaysia di Beijing, pelajar China yang sedang mengikuti Pengajian Melayu di BFSU serta wakil Kedutaan Besar Malaysia.
Hadir bersama ialah Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif (Pengarah Education Beijing Malaysia, Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China); Profesor Dr. Su Yingying (Dekan Fakulti Pengajian Asia, BUFS merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran SATBBMC Ke-5); Profesor Dr. Goh Sang Seong (Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran SATBBMC Ke-5 merangkap Penyelaras Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi, PPIK USM); dan Lim Chuan Boon (Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia).
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Ihsan Penganjur SATBBMC Ke-5
- Created on .
- Hits: 890