ALKA KAUR SANDHU DINOBATKAN PENERIMA ANUGERAH KELESTARIAN TERBAIK USM DI SUFIEX 3.0
USM PULAU PINANG, 22 Mei 2025 – Pelajar tahun akhir Universiti Sains Malaysia (USM), Alka Kaur Sandhu, 24, telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kelestarian Terbaik (Kategori Persatuan Pelajar) sempena Sustainable Future Initiative Exhibition (SUFIEX 3.0) yang berlangsung di Kampus Induk USM kelmarin.
Pelajar jurusan ekonomi dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) itu tidak asing lagi dalam arena kepimpinan pelajar.
Sepanjang pengajiannya, Alka aktif memimpin pelbagai inisiatif advokasi dan kelestarian, termasuk sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM serta Pengarah bagi beberapa projek berimpak tinggi seperti Sidang Siswi Kebangsaan, PinkBank dan PinkKit.
Menurut Alka, penganugerahan ini amat bermakna dan merupakan pengiktirafan kepada usaha kolektif semua rakan sekretariat yang terlibat.
“Anugerah ini mencerminkan bahawa program berasaskan nilai dan impak sosial masih relevan dan dihargai dalam landskap universiti. Ia juga satu amanah untuk terus mengangkat suara komuniti yang sering terpinggir, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” ujar beliau.
Antara inisiatif utama yang diiktiraf termasuk PinkBank, sebuah bank tuala Wanita yang menyokong pelajar berpendapatan rendah, serta PinkKit, kit kesihatan menstruasi percuma yang memberi akses saksama kepada kebersihan diri.
Kedua-duanya menyokong SDG 1, 3, 5 dan 10.
Alka juga mengetuai Sidang Siswi Kebangsaan, platform advokasi Wanita kampus yang berjaya meluluskan 21 usul yang telah dihantar ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Inisiatif lain yang turut memberi impak termasuk program pengagihan makanan berkala untuk pelajar, khasnya semasa musim peperiksaan dan Ramadan.
“Semua usaha ini digerakkan melalui kerjasama. Kami kumpul data, dengar suara pelajar, dan bergerak rentas sektor. Itulah semangat SDG yang sebenar,” katanya yang juga pernah mewakili Malaysia dalam program YSEALI.
Ketika ditanya tentang perancangan masa depannya, Alka tidak teragak-agak.
“Bagi saya, kelestarian bukan sekadar projek kampus, tapi cara hidup. Selepas tamat pengajian, saya mahu terus terlibat dalam gerakan akar umbi dan inisiatif sosial yang lebih luas, khususnya dalam keadilan ekonomi dan akses pendidikan. Misi saya tetap sama iaitu membina sistem yang lebih adil, lebih manusiawi,” ujarnya.
Alka mungkin hanyalah sebuah nama, tetapi semangat dan visinya mencerminkan ribuan siswi yang menginginkan dunia yang lebih peduli.
Bagi USM, beliau menjadi bukti bahawa kelestarian bukan sekadar tentang alam, tetapi juga mengenai manusia serta masa depan yang lebih baik untuk semua.
SUFIEX 3.0 merupakan platform pameran inisiatif lestari anjuran Kampus Sejahtera, yang mengetengahkan projek inovatif dan idea mampan hasil cetusan pelajar serta warga USM.
Program ini bertujuan memupuk kesedaran, ilmu dan tindakan ke arah masa depan yang lestari selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Teks: Nur Athirah Md Salleh, pelajar latihan industri Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC) USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 48