SAMBUTAN HARI BELIA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TERUS PERKASAKAN BELIA BERWIBAWA, PROGRESIF DAN BERDAYA SAING
USM PULAU PINANG, 19 Mei 2025 – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) yang diraikan setiap tahun pada 15 Mei, merupakan pengiktirafan oleh kerajaan terhadap peranan dan sumbangan belia dalam pembangunan negara.
Bagi menambahkan kemeriahan sambutan di peringkat negeri, seramai 120 mahasiswa-mahasiswi Universiti Sains Malaysia (USM) dari Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan, yang terdiri daripada barisan Pertubuhan Pelajar bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), turut menyertai Program Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 yang berlangsung pada 17 Mei 2025 di Hin Bus Depot, Georgetown, Pulau Pinang.
Pegawai dan staf Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Kampus Kejuruteraan turut serta mengiringi mereka, sekali gus memperlihatkan komitmen tinggi USM terhadap pembangunan belia serta kepimpinan mahasiswa.
Dengan mengangkat tema "Yakin Boleh," program tersebut adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, YB Daniel Gooi Zi Sen dalam ucapan perasmiannya berkata, Sambutan Hari Belia Negara 2025 ini menampilkan 10 Segmen/Pavilion seperti Port Jana Duit, Port Gaming, Port Seni, Pavilion Rakan Muda, dan banyak lagi.
“Ia merupakan satu pendekatan kreatif yang mencerminkan minat dan keperluan belia masa kini.
“Jadikanlah program ini sebagai medan membina jaringan, menimba pengalaman, dan mencabar keupayaan diri. Jadilah pemimpin yang bukan sahaja lantang bersuara, tetapi juga bijak menyelesaikan masalah,” ujarnya lagi.
Program tersebut menyahut agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kuat, iaitu menggalakkan pembentukan masyarakat yang aman dan menyeluruh untuk pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua, serta membina institusi yang berkesan, bertanggungjawab dan menyeluruh pada semua peringkat.
“Selaras dengan sasaran untuk membangunkan institusi yang berkesan, bertanggungjawab, dan telus di semua peringkat, penyertaan aktif mahasiswa dalam program seperti ini diharap dapat terus diperkasakan sebagai usaha membentuk generasi belia yang berwibawa, progresif, dan berdaya saing di peringkat negeri dan negara,” tambah Daniel Gooi.
Teks: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM/Foto: MPP USM
- Created on .
- Hits: 48