DARI PEJABAT KE GELANGGANG, SUKJAP 2025 KEMBALI GAH MEI - JULAI!
USM PULAU PINANG, 28 Mei 2025 – Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Kelab Sukan Staf Kampus Induk USM komited dalam melahirkan warga staf yang cergas, sihat, dan bertenaga.
Sebagai usaha ke arah matlamat tersebut, mereka menganjurkan temasya sukan tahunan, Sukan Antara Jabatan dan Pusat Pengajian (SUKJAP) 2025, yang sedang berlangsung dari Mei hingga Julai.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, SUKJAP 2025 diharapkan mendapat penyertaan aktif daripada staf USM pelbagai peringkat dalam pelbagai acara sukan.
SUKJAP bukan sahaja menjadi platform untuk staf mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi, tetapi juga untuk memupuk budaya kerja berpasukan, meningkatkan stamina serta kesihatan fizikal dan mental.
Selain itu, ia turut berperanan dalam mempererat hubungan silaturrahim dalam kalangan staf USM.
Sebanyak 14 acara sukan indoor dan outdoor dipertandingkan sepanjang SUKJAP 2025 iaitu Bola Sepak, Bola Tampar (Lelaki/Wanita), Badminton, Larian Kampus (Lelaki/Wanita), Petanque, Bola Jaring, Dart, Karom, Sepak Takraw, Futsal (Lelaki/Wanita), Congkak, Batu Seremban, Hoki, Ping Pong dan Bowling.
Pada 13 Mei 2025, tirai SUKJAP 2025 telah dibuka secara rasmi dengan Kejohanan Bola Sepak di Padang Minden.
Kejohanan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan 10 pasukan dari Kampus Induk USM, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), serta Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB).
Acara sukan kedua ialah pertandingan Bola Tampar (Lelaki/Wanita) yang telah berlangsung di Kompleks Sukan Azman Hashim USM pada 21 Mei 2025.
Kemuncak SUKJAP 2025 adalah acara Sukan Empat Penjuru, yang akan menyaksikan penglibatan bersama dari Kampus Kesihatan, Kampus Kejuruteraan, IPPT dan PPUSMB.
Majlis penutupan acara SUKJAP 2025 dijangka akan berlangsung pada 13 Julai 2025.
SUKJAP turut menjadi platform pemilihan pemain bagi mewakili USM dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM).
Teks: Rebecal Armugam, Pelajar Latihan Industri Pusat Media & Perhubungan Awam, (MPRC) USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Unit Media, Pusat Sukan & Rekreasi USM
- Created on .
- Hits: 185