CONVEX BENTUK SAHSIAH DAN KOMPETENSI SISWA-SISWI USM, PENANDA ARAS KEPADA PENCAPAIAN DAN KECEMERLANGAN PELAJAR
USM PULAU PINANG, 17 Mei 2025 – Sekretariat Ekspo Konvokesyen (ConvEx), sebuah badan pertubuhan barisan pelajar yang akan mengemudi salah satu program flagship di Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) telah menerima watikah pelantikan dalam satu majlis ringkas beserta lafaz ikrar sekretariat bertempat di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA.
Hadir di majlis penyampaian watikah adalah Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM; Penasihat II ConvEx 2025, Shukeri A Rahaman; dan Penyelaras Operasi ConvEx 2025, Hafiz Meah Ghouse Meah.
Azizah dalam ucapannya berkata, melalui ConvEx, anda semua akan menjadi orang yang hebat dan mampu melahirkan rakan-rakan pemimpin.
“Melihat kepada gerak kerja, saya berbangga melihat komitmen yang ditunjukkan dan saya menantikan hasilnya pada setiap fasa sehinggalah kepada hari ekspo yang dijadualkan berlangsung pada bulan November nanti,” ujarnya.
Tambahnya lagi, ConvEx merupakan sebuah program yang sangat signifikan dalam membentuk sahsiah dan kompetensi mahasiswa-mahasiswi dalam pelbagai aspek.
“Ianya bukan sahaja menyatukan elemen H.E.B.A.T malah turut melatih pelajar untuk menguasai kemahiran kepimpinan, pengurusan masa, dan pengurusan perniagaan,” katanya lagi.
Linggeswaran A/L Parthipan, selaku Pengarah Projek ConvEx 2025 dalam ucapannya pula berkata, pada tahun ini kami memilih tema ‘Çollecting Memories’ sebagai teras penganjuran yang akan membawa mesej mendalam pada setiap detik yang kita lalui di sepanjang pengajian, baik dari segi persahabatan mahu pun perjuangan dalam menempuh kejayaan yang akhirnya mencipta memori indah dan wajar dihargai serta diabadikan.
“Pendekatan ‘mix media’ sebagai elemen utama dalam setiap rekaan dan penyampaian visual, digabungkan dengan pelbagai medium seni seperti arca, fotografi, illustrasi, dan rekaan grafik ternyata akan menonjolkan kepelbagaian cara memori diungkap dan disimpan,” ujarnya lagi.
Paling bermakna, Sekretariat ConvEx turut akan menyediakan sebuah Garis Panduan Pengurusan ConvEx yang nantinya akan dijadikan sebagai rujukan dan panduan kepada pelajar lain apabila mengemudi gerak kerja pengurusan ConvEx seterusnya.
Turut diselitkan adalah Post-Mortem, Analisis SWOT, perancangan garis masa, framework jelas serta pembentangan perancangan setiap jabatan.
ConvEx 2025 akan melalui 4 Fasa bermula Mei hingga November 2025 dengan penglibatan 74 AJK utama yang meliputi 12 jabatan utama.
Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 44