PENYELIDIK USM DIIKTIRAF DI PERSADA ANTARABANGSA DI ESTRO 2025 ATAS PENEMUAN INOVATIF DALAM RAWATAN KANSER LIDAH
USM PULAU PINANG, 14 Mei 2025 – Seorang penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah meraih pengiktirafan antarabangsa dalam perhimpunan European Society for Radiotherapy and Oncology (ESTRO) 2025 yang berlangsung di Vienna, Austria, baru-baru ini.
Profesor Madya Dr. Gokula Kumar Appalanaido bersama pasukannya mencatat kejayaan membanggakan apabila dianugerahkan Sijil Abstrak Pencapaian Tinggi (Top-Scoring Abstract Certificate), sekali gus menempatkan mereka dalam kategori 5% terbaik daripada keseluruhan penyertaan di peringkat global.
Pengiktirafan ini adalah hasil pembentangan kertas kerja bertajuk “Hybrid HDRIBT followed by IMRT (HyBIRT) technique for the definitive treatment of oral tongue SCC (OTSCC) – first in human prospective study,” yang mengetengahkan pendekatan rawatan baharu dan inovatif dalam menangani kanser lidah.
Kejayaan ini turut membuktikan kedudukan USM sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan dan rawatan kanser, khususnya dalam kaedah brachytherapy.
USM juga telah diiktiraf sebagai salah sebuah Pusat Kecemerlangan bertaraf antarabangsa bagi rawatan brachytherapy kanser kepala dan leher oleh BrachyAcademy, sebuah organisasi saintifik berpusat di Belanda.
Kaedah HyBIRT yang dibangunkan di Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) merupakan satu penemuan penting dalam rawatan pemeliharaan organ bagi pesakit kanser lidah.
Teknik ini menggabungkan High-Dose-Rate Interstitial Brachytherapy (HDRIBT) dan Intensity-Modulated Radiotherapy (IMRT) untuk memberikan rawatan yang lebih tepat, berkesan dan mampu mengekalkan fungsi organ pesakit.
Kejayaan ini adalah hasil kolaborasi pasukan penyelidik merentas disiplin yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Yusri Musa (pakar bedah ENT); Dr. Ahmad Fakrurrozi Mohamad (pakar bedah mulut dan maksilofasial); Dr. Jasmin Jalil (pakar onkologi klinikal); serta Profesor Madya Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz (pakar fizik perubatan); bersama Profesor Madya Dr. Gokula Kumar sendiri selaku ketua penyelidik.
Pengiktirafan di ESTRO 2025 ini telah menyerlahkan keupayaan bakat tempatan dalam bidang perubatan, serta mengangkat nama Malaysia di persada global melalui sumbangan bermakna dalam pembangunan rawatan kanser yang berimpak tinggi, berinovasi dan berintegriti.
Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika ditemui, berkata kejayaan ini mencerminkan keunggulan USM dalam bidang penyelidikan dan inovasi, sekali gus mengukuhkan kedudukan universiti sebagai peneraju dalam sains dan teknologi perubatan.
“Kejayaan ini adalah hasil komitmen jitu, dedikasi tinggi dan semangat kerjasama luar biasa dalam kalangan penyelidik USM yang berjaya membangunkan pendekatan baharu yang inovatif dalam rawatan kanser lidah.
“USM akan terus menyokong usaha berimpak tinggi seperti ini bagi memperkasa sistem penjagaan kesihatan negara serta memperluas sumbangan Malaysia dalam kemajuan sains perubatan di peringkat antarabangsa,” kata beliau.
Teks: Profesor Madya Dr. Yusri Musa, IPPT & PPUSMB/Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 45