USM BUKA LEMBARAN KERJASAMA STRATEGIK INOVATIF ANTARA KESIHATAN AWAM DAN INDUSTRI AEROANGKASA DI LIMA’25
PULAU PINANG, 29 Mei 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta satu pencapaian bersejarah dalam bidang kesihatan awam apabila pelajar Doktor Kesihatan Awam (DrPH), Dr. Amalina Asmail@Ismail dari Jabatan Perubatan Masyarakat (JPM), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), telah menyertai penempatan penting di Bilik Operasi Kesihatan Awam, Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25).
Penempatan ini bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya turut disertai oleh lawatan akademik oleh Ketua Jabatan, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad, bersama pensyarah perubatan merangkap bekas Timbalan Komander Bilik Operasi Kesihatan Awam LIMA’23, Dr. Afiq Izzudin A. Rahim.
Penglibatan warga USM itu menandakan permulaan era baharu kerjasama strategik antara USM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam acara berprestij.
Pengalaman melalui kerjasama ini juga amat penting dalam membentuk pemahaman mendalam tentang peranan sebenar pakar kesihatan awam dalam pengurusan acara berskala besar bertaraf antarabangsa.
Ia melangkaui pembelajaran di bilik kuliah dan memberikan pendedahan langsung yang sangat berharga kepada pelajar, selain turut mencerminkan komitmen USM dalam merealisasikan moto ‘Kami Memimpin’.
Pendidikan kesihatan awam tidak seharusnya terhad kepada teori semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pengalaman lapangan yang mampu meningkatkan kualiti graduan pakar kesihatan awam negara.
USM turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi atas sokongan padu dalam merealisasikan kerjasama ini.
Selain penempatan pelajar, LIMA’25 turut menjadi platform penting bagi JPM untuk meneroka potensi kerjasama inovatif bersama industri aeroangkasa negara.
Walaupun kerjasama antara kesihatan awam dan industri aeroangkasa masih di peringkat awal, potensi ke arah meneroka sinergi baharu antara dua bidang kritikal ini amat cerah dan boleh dikembangkan.
Fokus utama adalah kepada potensi penggunaan teknologi seperti dron dan sistem pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuhkan inisiatif kesihatan awam negara.
Lebih membanggakan, empat syarikat aeroangkasa tempatan telah menyatakan minat tinggi untuk terlibat dalam penyelidikan bersama ini. Perbincangan kini sedang giat dijalankan bagi memuktamadkan kerjasama tersebut.
Usaha ini membuka dimensi baharu dalam landskap penyelidikan negara, menghubungkan dua bidang yang sebelum ini jarang bersilang – kesihatan awam dan aeroangkasa. USM berbangga menjadi peneraju dalam inisiatif perintis ini.
Teks dan Foto: Ihsan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM
- Created on .
- Hits: 125