‘LASAH TRADISI, RUMPUN LEGASI BAYU’ DISERLAH DI PENTAS MALAM CITRA BAYU KE-17, USM MUNCUL SEBAGAI JUARA KESELURUHAN
USM PULAU PINANG, 24 Mei 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menjadi tumpuan apabila menganjurkan Malam Citra Bayu ke-17, sebuah program berprestij anjuran Pertubuhan Siswa-Siswi Sabah (PERSIS) USM yang meraikan kepelbagaian budaya dan warisan anak Borneo.
Acara tahunan ini menghimpunkan penyertaan dari lapan universiti awam seluruh negara, menjadikan pentas Malam Citra Bayu sebagai medan pertandingan bakat, persembahan seni dan budaya yang mencerminkan kekayaan etnik dan tradisi masyarakat Sabah.
Malam Citra Bayu ke-17 juga mencatat detik manis apabila USM diumumkan sebagai Juara Keseluruhan, sekali gus membuktikan keunggulan dan kebitaraan mahasiswa dalam mengangkat budaya ke peringkat tertinggi.
Kemenangan ini menjadi kebanggaan buat seluruh warga kampus dan penyokong USM.
Perasmian program ini disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali, yang memuji usaha penganjur kerana berjaya menarik minat anak muda untuk bersama-sama mengangkat seni dan budaya tempatan.
“Syukur pada malam ini, program ini mampu membawa ramai anak muda hadir dengan penuh semangat bagi memartabatkan kebudayaan dan seni kita sendiri, iaitu identiti kita,” kata beliau dalam ucapannya.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed turut hadir dan menyampaikan ucapan sempena malam tersebut.
Beliau menyifatkan program ini bukan sahaja sebagai satu bentuk hiburan, malah selari dengan agenda H.E.B.A.T USM (Holistik, Keusahawanan, Keseimbangan, Artikulasi, dan Pemikiran Kritis) dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing, dan memiliki jati diri yang kuat.
Tambah beliau, penganjuran program seumpama ini wajar dijadikan sebagai tradisi yang menyumbang kepada pembentukan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan mahasiswa pelbagai kaum dan latar belakang di dalam kampus.
“Saya amat mengharapkan program ini akan terus menjadi salah satu program perdana (flagship) USM anjuran pelajar sendiri yang dinanti-nantikan setiap sidang akademik.
“Kehadiran peserta dari pelbagai universiti juga menjadi simbol kebersamaan dan lambang perpaduan keluarga Malaysia MADANI,” tambah beliau.
Pengarah Projek, Azham Ja’afar bersama barisan jawatankuasa pelaksana turut menerima penghargaan dan tepukan gemuruh atas kejayaan menganjurkan program yang tersusun dan berimpak tinggi, yang saban tahun mendapat sambutan hangat daripada warga kampus dan juga masyarakat luar.
Malam yang dihiasi dengan persembahan bertenaga, kostum berwarna-warni dan semangat perpaduan ini membuktikan bahawa warisan budaya bukan sekadar kenangan, tetapi adalah identiti yang harus terus diraikan, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Teks: Nur Athirah Md Salleh, pelajar latihan industri Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC) USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 109