USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EKSPEN 2025 ANJURAN 3KPP25 KEMBALI LAGI DENGAN MEMBUKA PAMERAN KERJAYA YANG UNGGUL BUAT MAHASISWA

WhatsApp Image 2025 05 28 at 08.54.02 1745e87d
USM PULAU PINANG, 27 Mei 2025 – Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN) 2025 anjuran Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang 2025 (3KPP25) kembali lagi dengan membuka pameran kerjaya yang unggul buat mahasiswa-mahasiswi Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga Universiti Awam yang lain.  

Program flagship Sekretariat 3KPP25 dan Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM mempunyai beberapa matlamat utama, antaranya membolehkan mahasiswa-mahasiswi meneroka laluan kerjaya, meningkatkan kesedaran dan minat terhadap pelbagai laluan kerjaya dan pendidikan, memberi peluang kepada pelajar untuk mengenal potensi diri dan bidang kerjaya yang sesuai dengan minat serta kebolehan masing-masing.


WhatsApp Image 2025 05 28 at 08.54.06 7fb3a30d

Majlis pada pagi ini yang berlangsung di Dewan Utama Pelajar, USM Kampus Induk, telah dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.  

Dalam ucapannya, Naib Canselor berkata, pameran kerjaya ini perlu diambil tahu oleh para pelajar dan juga pensyarah bagi mengenal pasti sasaran kemahiran dan kebolehan bakal graduan dalam mencari peluang kerjaya mereka.

“Inilah peluang dan masanya bagi graduan dan bakal graduan untuk melihat keperluan industri dan keperluan pihak majikan bagi memahami laluan kerjaya.

“Peluang seperti ini perlu dimanfaat sebaiknya, pelajar perlu mengambil tahu dan melibatkan diri dengan industri sebanyak mungkin,” ujarnya.

Naib Canselor juga menyeru warga pelajar USM tidak kira tahun pengajian untuk hadir beramai-ramai di program yang penuh dengan pengisian yang bermanfaat ini.

“Program ini bukan sahaja untuk pelajar tahun empat, tetapi juga untuk pelajar tahun satu, dua, dan tiga kerana peluang latihan industri dan sebagainya sememangnya terdapat dalam program pameran kerjaya seperti ini,” katanya lagi.


WhatsApp Image 2025 05 28 at 08.53.58 49134193

Sementara itu, majlis juga diserikan dengan ucapan daripada Ketua Pengarah Eksekutif TalentBank, Ben Ho yang merakamkan penghargaan serta harapan beliau pada acara pagi ini.

Beliau menekankan bahawa ekspo ini bukan hanya sekadar program untuk memenuhi kalender, tetapi ia merupakan satu lambang besar kepada orang ramai.

“Ekspo ini merupakan simbol komitmen bersama untuk masa depan belia kita, dan komitmen untuk merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri dalam memastikan setiap graduan melangkah ke alam kerjaya maing-masing dengan keyakinan dan hala tuju yang jelas,” Katanya.

Beliau mewakili pihak TalentBank merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Sains Malaysia selaku penganjur serta rakan-rakan strategik yang turut hadir menjayakan acara pagi ini.

Di hujung ucapannya, Ben Ho berkata, “Semoga acara ini mencetus permulaan baharu, membina hubungan yang berkekalan dan melahirkan kisah kejayaan yang terus menginspirasikan generasi yang akan datang.”


WhatsApp Image 2025 05 28 at 08.53.59 73a74574

Sementara itu, Pengarah Projek EKSPEN 2025, Nur Amani Wahidah Zulkifre turut merakamkan harapan semoga semangat kental dan komitmen universiti dalam mengukuhkan agenda keusahawanan dalam komuniti kampus terus berkembang maju pada masa yang akan datang.


WhatsApp Image 2025 05 28 at 08.53.59 c38db5df

Pelajar-pelajar USM digesa untuk merebut peluang keemasan yang ditawarkan menerusi EKSPEN 2025 ini, yang menghimpunkan sebanyak 49 syarikat dari pelbagai sektor, termasuk syarikat multinasional (MNC) dan perusahaan kecil dan sederhana (SME).

Dengan lebih 1,000 tawaran pekerjaan disediakan, ekspo ini membuka ruang luas untuk pelajar mendekati dan mengenali pemain industri mengikut bidang masing-masing.

Setakat ini, hampir 700 resume pelajar USM telah dimuat naik ke platform TalentBank yang merupakan satu usaha strategik dalam memperkukuh jaringan kolaborasi antara universiti dan industri ke arah pembangunan kerjaya yang lebih dinamik dan relevan.


WhatsApp Image 2025 05 28 at 08.53.59 c7de6b55

Turut hadir di majlis perasmian adalah Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM, Profesor Dr. Azizah Omar; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Muhammad Arif Esa, pegawai-pegawai utama universiti; wakil-wakil industri; agensi-agensi Kerajaan; dan peserta-peserta Pameran EKSPEN 2025.

Teks: Muhammad Iman Daniel Muhammad Asrul, Pelajar Latihan Industri Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Unit Media & Penerbitan BHEPA USM

  • Created on .
  • Hits: 147

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024