GAPP MUTIARA FESTIVAL 2025 SEMARAKKAN SEMANGAT KEUSAHAWANAN, KEBUDAYAAN DAN PERPADUAN WARGA KAMPUS
USM PULAU PINANG, 25 Mei 2025 – Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP), Universiti Sains Malaysia (USM) menampilkan satu program khusus yang berperanan dalam menghidupkan semangat kebersamaan dan menghargai nilai seni serta budaya dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat.
Program yang dikenali sebagai GAPP Mutiara Festival 2025 itu berlangsung dengan penuh meriah selama tiga hari, bermula 23 hingga 25 Mei, dari jam 10 pagi hingga 11 malam.
Festival berimpak tinggi itu turut menjadi medan memperkukuh jaringan kerjasama antara pelajar, alumni, warga universiti dan masyarakat luar melalui penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti yang dirancang.
Menurut wakil penganjur, GAPP Mutiara Festival 2025 bukan sekadar acara hiburan semata-mata, malah ia merupakan platform pembangunan holistik pelajar dalam aspek kepimpinan, pengurusan acara dan keusahawanan.
“Pihak penganjur memberi ruang kepada pelajar untuk mengasah bakat kepimpinan serta membina daya tahan melalui pengalaman langsung mengendalikan festival berskala besar.
“Salah satu keunikan festival ini adalah penyertaan usahawan-usahawan kecil dalam kalangan pelajar USM yang diberikan peluang untuk mengendalikan gerai perniagaan mereka sendiri sepanjang acara berlangsung,” kata jurucakap berkenaan.
Usaha ini juga disifatkan selari dengan aspirasi universiti dalam memupuk semangat keusahawanan dan kebolehpasaran dalam kalangan generasi muda.
Festival tersebut turut memberi penekanan terhadap nilai perpaduan dengan menyemarakkan semangat “Bersama Bangkit Untuk Bersatu” melalui pelbagai aktiviti santai dan harmoni yang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Antara objektif utama GAPP Mutiara Festival 2025 adalah:
- Menyediakan ruang apresiasi seni dan budaya kepada warga kampus serta masyarakat.
- Mengeratkan hubungan antara pelajar, staf dan komuniti luar.
- Memberi pendedahan dan pengalaman pengurusan acara kepada pelajar.
- Menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.
- Menyediakan peluang kepada usahawan kecil USM untuk menguruskan perniagaan sendiri.
Sebagai acara kemuncak, festival itu turut menampilkan persembahan eksklusif penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Noh Salleh, yang turut dijadikan daya tarikan utama, dan telah menghiburkan para pengunjung dengan persembahan muzik secara langsung.
- Created on .
- Hits: 170