USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAI TEMASYA OLAHRAGA KE-48 DENGAN GABUNGAN SUKAN DAN MAGIS HARRY POTTER

499759564 1188446719988742 1644359042905682572 n

USM PULAU PINANG, 25 Mei 2025 – Temasya Olahraga Tahunan (TOT) Universiti Sains Malaysia (USM) edisi ke-48 kembali dengan lebih meriah, berwarna-warni serta penuh semangat kesukanan, sekali gus membuka tirai secara rasmi di Stadium Olahraga USM menerusi perasmian oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

499918135 1188447106655370 3942986757128566353 n

499932447 1188447019988712 2468332404792086717 n

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah-pengarah Kampus USM; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim; serta pegawai utama universiti yang hadir sebagai simbol iltizam berterusan USM dalam memperkukuh sukan sebagai wadah pembangunan sahsiah dan komuniti kampus.

Bertemakan “Together on Track” serta diinspirasikan oleh dunia magis Harry Potter, temasya tersebut yang berlangsung dari 23 hingga 25 Mei, menyatukan elemen kesukanan, kreativiti dan semangat kekitaan dalam kalangan pelajar, staf dan alumni melalui pelbagai acara penuh warna dan nostalgia.

499991827 1188447166655364 213336108718560272 n

499934122 1188447326655348 221810208318846836 n

Sebanyak 83 acara balapan dan padang dipertandingkan melibatkan kategori staf, senior, veteran dan senior veteran, menjadikan temasya ini antara yang paling inklusif dan menyeluruh dalam sejarah penganjurannya.

Istimewanya, dua acara berprestij yang pernah dipertandingkan – Larian Sebatu Tuanku Raja Perempuan dan Larian Sebatu Tuanku Diraja – kembali menghiasi arena TOT-48 dengan piala pusingan sumbangan diraja oleh DYMM Tuanku Raja Perempuan dan DYMM Raja Perlis menyuntik semangat sejarah dan penghormatan diraja.

499783156 1188447576655323 6902241660513125889 n

499710775 1188447556655325 5860767007948139232 n

499921981 1188447616655319 6375950256021820984 n

Perbarisan lintas hormat melibatkan penyertaan 21 kontingen termasuk Majlis Perwakilan Pelajar USM yang mempersembahkan perarakan penuh semangat, mencerminkan kebanggaan dan identiti desasiswa masing-masing.

Buat julung kalinya, Kontingen Alumni USM turut serta sebagai pesaing istimewa yang berentap menentang pasukan staf dari Kampus Induk, Kejuruteraan dan Kesihatan, sekali gus menambah dimensi baharu dalam temasya kali ini.

Pertandingan kawad kaki badan beruniform yang diperkenalkan buat kali pertama telah dimenangi dengan cemerlang oleh Kor PALAPES Darat USM, menonjolkan disiplin, ketepatan dan persembahan yang mengagumkan.

499929066 1188447063322041 6323608621062240793 n

Temasya ini turut mendapat sokongan padu pihak penaja, dengan Nestlé Products Sdn. Bhd. selaku penaja utama, manakala Maybank dan Elgini Apparel turut tampil sebagai penaja bersama, menjadikan penganjuran lebih bergaya dan berimpak tinggi.

Kemuncak acara menyaksikan Desasiswa Jaya Lembaran Utama diumumkan sebagai Juara Keseluruhan Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) Sidang Akademik 2024/2025, selepas berjaya merangkul 5 emas, 8 perak dan 10 gangsa dengan kutipan 72 mata, mengatasi sembilan desasiswa lain.

Secara keseluruhan, temasya ini membuktikan komitmen berterusan USM dalam menjadikan sukan sebagai medium pembentukan sahsiah holistik, perpaduan, dan kekeluargaan kampus yang unggul.

499923705 1188447299988684 5208773194375655583 n

Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua atlet, jurulatih, pegawai teknikal, urus setia dan sukarelawan atas komitmen dan semangat tinggi yang dizahirkan dalam menjayakan temasya berprestij ini.

Teks: Siti Salwa Suhaida Mohamad Ibrahim, Pusat Sukan & Rekreasi USM/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 184

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024