USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED SASAR BUDAYA KERJA SEJAHTERA BEBAS RASUAH DAN DADAH

 MG 3018 copy

USM PULAU PINANG, 22 Mei 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) komited memperkasa budaya kerja cemerlang, khususnya dalam meningkatkan integriti serta kesedaran terhadap kesan buruk rasuah dan penyalahgunaan dadah dalam persekitaran kerja.

Komitmen berkenaan dizahirkan menerusi penganjuran program ceramah “Tempat Kerja Bebas Rasuah dan Dadah” dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di kampus induk USM, baru-baru ini.

 MG 2725 1

 MG 2770 1

Program berkenaan turut menjadi sebahagian daripada inisiatif strategik USM dalam usaha meningkatkan kefahaman warga universiti terhadap kepentingan berintegriti dan menjaga kesejahteraan peribadi di tempat kerja.

Pengasas CJM Global Integrity Hub, Firdaus Ramlan berkata, sesebuah organisasi perlu menyemai nilai integriti, akauntabiliti dan etika kerja yang sihat bagi mewujudkan persekitaran kerja yang bebas daripada gejala rasuah.

 MG 3188 1

 MG 2734 1

“Persekitaran kerja yang sihat bukan sahaja mewujudkan suasana kondusif, malah mampu membentuk aura positif yang menjauhkan individu daripada kehidupan yang sengsara akibat salah laku,” katanya semasa menyampaikan ceramah bertajuk “Bukan Lupa Tapi Alpa: Rasuah Itu Satu Ketagihan.”

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi dan memperkenalkan dua buku tulisannya yang bertajuk “Pengkisahan dari Tirai Besi” dan “Empat Batang Lapan” yang mengupas kisah sebenar berkaitan rasuah dan integriti.

 MG 3226 1

 MG 3263 1

Lebih 100 peserta menghadiri program tersebut yang turut menampilkan ceramah kedua bertajuk “Once Try, Terus Cry: Dadah Menghalusinasikan Kita” oleh Timbalan Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Mertajam, Nur Farhana Md. Yusoff.

Dalam perkongsiannya, beliau menghuraikan kesan penyalahgunaan dadah serta jenis-jenis dadah termasuk ganja, heroin, ketum dan dadah sintetik seperti syabu, ekstasi dan ketamin.

“Kakitangan yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah akan berdepan kesan negatif terhadap kesihatan mental, yang akhirnya menjejaskan prestasi dan reputasi organisasi,” jelas beliau.

 MG 3058 1

 MG 3098 1

Kemuncak program diakhiri dengan ucapan penghargaan oleh Penasihat Undang-Undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi, serta Pengarah AADK Negeri Pulau Pinang, Roswati Apin, atas perkongsian bermakna kepada para peserta.

 MG 3277 1 2

Perkongsian berkenaan turut disifatkan dapat menjadikan kampus USM sebagai zon bebas dari rasuah dan dadah, selain menzahirkan komitmen USM untuk melahirkan budaya kerja yang bersih, sihat dan beretika tinggi demi kelestarian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Teks: Rebecal Armugam, Pelajar Praktikal, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC), USM

  • Created on .
  • Hits: 151

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024