KOLABORASI USM DAN MICRON PERKENAL KURIKULUM ATMP PERTAMA DI IPT MALAYSIA
NIBONG TEBAL, 16 Mei 2025 – Seramai 102 orang pelajar Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima sijil penyertaan sempena Majlis Penyampaian Sijil Program Assembly, Test, Marking and Packaging (ATMP) Micron-USM yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, hari ini.
Majlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kolaboratif strategik antara Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. dan USM, susulan pelancaran kurikulum Semiconductor Assembly, Test, Marking and Packaging (ATMP) pada 24 Februari 2025 yang lalu di kilang Micron di Batu Kawan.
Seramai 19 orang pensyarah dari USM dan lapan orang pensyarah dari UoW KDU turut terlibat dalam program ini, yang memberi pendedahan langsung kepada pelajar berkaitan amalan terbaik industri semikonduktor masa kini.
Dalam ucapannya, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menekankan kepentingan pendedahan awal pelajar kepada industri sebagai landasan untuk membina masa depan yang lebih bermakna dan bersesuaian dengan kemahiran sebenar yang dimiliki.
“Di USM, kami mahu pelajar didedahkan kepada industri seawal mungkin kerana ini bukan hanya tentang mendapatkan pekerjaan, tetapi mendapatkan pekerjaan yang betul dan selaras dengan kelayakan serta minat mereka,” ujar beliau.
Menurut Naib Canselor, pilihan berada di tangan pelajar untuk menentukan apa yang mahu dipelajari dan diterokai sepanjang empat tahun di universiti, sambil menyatakan bahawa mereka bertuah kerana disokong oleh pihak pengurusan tertinggi serta pensyarah yang aktif bekerjasama dengan industri.
“Kehadiran Micron di sini pula bukan sahaja untuk berkongsi kepakaran, tetapi untuk membentuk pelajar kita menjadi satu bakat yang lebih berkualiti sesuai dengan kehendak pasaran. Oleh kerana itulah, kita di USM sangat menghargai serta berterima kasih untuk hubungan kolaboratif dengan Micron ini,” kata Abdul Rahman.
Sementara itu, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Micron Memory Malaysia, Ramamoorthy Ganapathy Iyer, dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada USM atas sokongan penuh terhadap pengenalan kurikulum baharu ini.
Menurut beliau, kurikulum ini merupakan yang pertama seumpamanya diperkenalkan di institusi pengajian tinggi di Malaysia dan menjadikan USM serta University of Wollongong Malaysia (UoW) KDU College sebagai perintis pelaksanaannya.
“Terima kasih kepada Universiti Sains Malaysia, khususnya kepada Naib Canselor, kerana memberi sepenuh sokongan kepada kami di Micron sejak dari awal dalam mewujudkan idea untuk memperkenalkan kursus elektif ini,” kata beliau.
“Tanpa sokongan beliau, tidak mungkin kami dapat membawa kurikulum semikonduktor yang pertama ini ke peringkat universiti, yang mana segalanya bergerak sangat pantas, dari perancangan ke pelaksanaan,” tambah Ramamoorthy.
Turut hadir ialah Naib Canselor University of Wollongong Malaysia (UoW) KDU College, Profesor Dr. Chong Beng Keok; dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 59