USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LANCAR SISTEM PENGURUSAN KKP HOLISTIK, PERKASA BUDAYA KERJA SELAMAT DAN SIHAT

d0f8d50f a6a1 4fab 920e 4b52f71b7e1b

USM PULAU PINANG, 20 Mei 2025 – USM melalui Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) telah melancarkan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bertemakan "Memperkasa Budaya Kerja Selamat dan Sihat” sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan tempat kerja, dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan Universiti (DPU), hari ini.

Pelancaran yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran, mewakili Naib Canselor USM ini menyaksikan pengenalan dokumen rasmi Manual dan Prosedur KKP, sistem e-Insiden dan e-Audit, serta Modul Latihan KKP dalam talian melalui MOOC (Massive Open Online Course) sebagai komponen utama.

4c09e1db 7c95 452a a9bd 5f1272d821d5

Kesemua inisiatif ini direka bentuk secara bersepadu sebagai strategi menyeluruh yang memenuhi keperluan semasa dalam pengurusan keselamatan pekerjaan di kampus.

Manual dan prosedur yang diperkenalkan akan menjadi rujukan utama dalam pelaksanaan KKP meliputi dasar, perancangan, pelaksanaan, pemantauan serta penambahbaikan berterusan melibatkan peranan semua pihak bertanggungjawab.

Sistem digital seperti e-Insiden dan e-Audit meningkatkan kecekapan pelaporan serta pemantauan insiden dan pematuhan KKP secara sistematik, manakala modul latihan KKP secara fleksibel melalui platform MOOC memberikan akses pendidikan yang lebih inklusif dan kendiri kepada seluruh warga kampus.

72d4586b 7b45 4e93 a8bb f59aaf420ae2

Dalam ucapannya, Azlan menegaskan bahawa kejayaan sistem ini memerlukan komitmen bersepadu dan berterusan daripada semua pihak.  

“Manual dan sistem ini hanya akan bermakna jika semua pihak melaksanakannya secara menyeluruh dan konsisten, kerana inilah titik tolak kepada budaya kerja yang lebih selamat dan sihat di seluruh kampus,” katanya.

Tambah beliau lagi, program ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari, SDG3 iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan yang baik.

 

ceb7b87b f481 4eda b933 9ce814c9c6d0

a2b1a15b 1ccb 43cf b042 de155b540387

Majlis turut menzahirkan penghargaan kepada UKKP, pembangun sistem dalaman dari Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), ahli jawatankuasa berkaitan serta seluruh warga USM yang menyumbang idea, tenaga, dan kepakaran dalam pembangunan sistem ini.

Teks: Nurul Adilah Mohd Badroldin & Mohd Hafizul Mohd Arop, Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (UKKP USM)/Suntingan: Shafinaz Md Ismail

  • Created on .
  • Hits: 202

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024