USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

"TUNAIKAN AMANAH," KATA NAIB CANSELOR

10858625 10206923411508176 209087551872562883 n

Pulau Pinang, 22 Jun 2015 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman menyeru agar seluruh warga USM menunaikan amanah yang ada untuk memastikan produktiviti universiti terus meningkat dan sentiasa berada di hadapan.

Dalam tazkirahnya sempena Ramadhan di Mesjid Al-Malik Khalid hari ini, Naib Canselor berkata, ini termasuklah amanah dalam mengguna dan memanfaatkan masa yang ada.

10177941 10206923411828184 2933531792431321787 n

"Dalam kajian yang saya lakukan ketika menyelesaikan pengajian pada peringkat doktor falsafah tentang pengurusan masa dalam sektor binaan, didapati bahawa banyak masa terbuang dan dihabiskan kerana menunggu proses kerja pihak lain yang tidak menepati masa yang sewajarnya," kata Omar.

Katanya lagi, dalam konteks kerja di sesebuah jabatan, seseorang itu perlu mengelakkan orang lain menunggu untuk kita siapkan kerja yang ada yang menyebabkan ada pihak yang terpaksa membuang masa menunggu kita menyiapkannya sehingga menyebabkan orang lain bermasalah.

"Yang lebih sedih ialah apabila kita tidak melakukan kerja yang sepatutnya dibuat sendiri terutamanya di kaunter dan dari kajian yang dibuat menunjukkan 30% dari kerja yang diamanahkan tidak dilakukan pada masa yang sepatutnya," kata Omar lagi.

10516838 10206923409748132 1238700705065006627 n

"Sebagai staf USM, kita mempunyai amanah untuk ditunaikan iaitu antaranya ialah amanah untuk menjaga diri sendiri termasuk dalam menjaga kesihatan kerana rahmat yang didapati dalam menjalani amanah berpuasa bertolak dari amanah untuk menjaga diri sendiri dan berada dalam keadaan sihat," tambah Omar.

Naib Canselor menjelaskan bahawa sikap beramanah amat penting termasuklah kepada mereka yang diamanahkan dari pemberian penggajian yang perlu bertanggungjawab kepada majikan termasuk dalam menjaga harta milik majikan dan menjalankan tugas dengan jujur dan amanah. 

1621873 10206923410428149 2674793005777029474 n

"Misalnya, peluang menjadi pensyarah  dan pentadbir di universiti adalah amanah dan peluang yang mungkin tidak diperolehi oleh orang lain, oleh itu seseorang itu tidak harus cuai, sentiasa menepati masa dan tidak iri hati kepada orang lain," kata Omar.

Naib Canselor meminta ketua-ketua jabatan melihat punca terjadinya masalah ini dan memastikan agar tidak berlaku di jabatan masing-masing khususnya dalam menunaikan amanah menggunakan masa kerja secara optimum pada tahap individu dan kelompok yang pastinya ada ruang untuk dilakukan penambahbaikan.

10511178 10206923411148167 3562176563128409600 n

11219624 10206923410708156 7699917966252518397 n

"Kita perlu kembali kepada asas dalam menunaikan amanah dengan kejujuran yang tinggi untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti," katanya lagi.

Naib Canselor turut menyeru agar semua bersyukur kerana berpeluang menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadhan adalah amanah Allah s.w.t yang perlu dilaksanakan dengan ganjaran yang ditentukan oleh Allah s.w.t. berdasarkan niat ikhlas yang dilakukan hanya kerana Allah s.w.t.

Tambahnya lagi, pada masa yang sama, sempena bulan Ramadhan ini umat Islam digalakkan terus berdoa demi kebaikan semua pihak terutamanya doa yang dilakukan bersendirian termasuk untuk rakan-rakan yang mungkin dianggap tidak melakukan kebaikan kepada kita. Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1122

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024