PUSAT ISLAM SEDIA JUADAH BERBUKA PUASA DI HUSM SETIAP HARI
KUBANG KERIAN, 21 Jun 2015 - Pusat Islam Kampus Kesihatan mengadakan gotong royong memasak untuk menyediakan juadah berbuka puasa kepada peneman pesakit dan staf USM Kampus Kesihatan yang bertugas terutamanya di Hospital USM di sepanjang Ramadhan ini.
Usaha ini dibuat dengan bantuan sukarelawan yang terdiri daripada kalangan staf pelbagai jabatan di sini.
Menurut Pegawai Hal-Ehwal Islam USM Kampus Kesihatan, Ustazah Norshazalwana Mohd Zin, sebanyak RM1,500 diperuntukkan untuk menyediakan juadah berbuka puasa setiap hari untuk tujuan tersebut melalui dana sumbangan staf warga USM Kampus Kesihatan dan orang ramai.
“Program ini adalah untuk memberi kemudahan kepada mereka berbuka puasa tanpa perlu meninggalkan tempat bertugas,” katanya.
Setiap hari sebanyak 200 set juadah berbuka puasa diagihkan setiap hari kepada peneman pesakit dan staf USM yang bertugas.
Orang ramai termasuk dalam kalangan warga USM bolehlah terus menyumbang dana bagi tujuan tersebut di Pusat Islam USM Kampus Kesihatan. - Teks/Foto: Abdul Aziz Latiff
- Created on .
- Hits: 1111