USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAJLIS PENYERAHAN KOLEKSI TAN SRI EDGAR JOSEPH JR PERKAYA KHAZANAH ILMU DI USM

WhatsApp Image 2025 05 16 at 13.06.18 52ddb020
USM PULAU PINANG, 16 Mei 2025 – Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima sumbangan koleksi ilmiah yang sangat berharga daripada tokoh perundangan terkemuka negara, Tan Sri Edgar Joseph Jr, baru-baru ini.

Dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Perpustakaan Hamzah Sendut USM itu, lebih 3,000 item koleksi peribadi Tan Sri Edgar Joseph Jr diserahkan kepada pihak perpustakaan, menjadikan ia satu sumbangan yang dapat memperkaya sumber dan khazanah ilmu di USM.

Tan Sri Edgar Joseph Jr. merupakan seorang tokoh terkenal dan sangat dihormati dalam badan kehakiman dan sistem perundangan di Malaysia. Beliau pernah berkhidmat sebagai hakim di Mahkamah Persekutuan Malaysia, iaitu mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman negara.

Koleksi berkenaan merangkumi pelbagai bahan ilmiah dan biografi yang unik, termasuk buku undang-undang, laporan dan ulasan perundangan, kamus, penerbitan berkaitan timbang tara, biografi tokoh-tokoh terkenal dalam bidang undang-undang dan politik, serta barangan peribadi beliau.

Antara barangan eksklusif yang turut disumbangkan ialah tiga potret besar Tan Sri Edgar Joseph Jr, jubah kehakiman, gavel kehakiman dalam kotak kayu, songkok, dan papan nama besar bertulis "EDGAR" – semuanya melambangkan perjalanan kerjaya beliau sebagai seorang hakim yang disegani.

Ketua Pustawakan USM, Arinawati Ayob berkata, koleksi seumpama ini adalah satu warisan intelektual yang amat bernilai bukan sahaja kepada USM, tetapi juga kepada komuniti penyelidik dan akademik di seluruh negara.

Beliau dalam ucapannya juga turut menzahirkan penghargaan yang tinggi atas sumbangan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai satu pelaburan ilmu yang akan terus memberi manfaat kepada generasi masa hadapan.


WhatsApp Image 2025 05 16 at 13.06.16 1916a8aa

Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Lim Chong Fong, ahli-ahli keluarga terdekat Mendiang Tan Sri Edgar Joseph Jr, Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM, Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Md Azree Othuman Mydin dan ramai lagi.


WhatsApp Image 2025 05 16 at 13.06.17 e5b8f4a5

Koleksi Tan Sri Edgar Joseph Jr, sumbangan yang amat signifikan kepada pemerkasaan budaya ilmu kini boleh diakses oleh pengguna dan ditempatkan di Perpustakaan Hamzah Sendut 1, USM Pulau Pinang.

Teks: Noor Azlinda Wan Jan, Pustakawan, Bahagian Korporat & Khidmat Pelanggan, Perpustakaan Hamzah Sendut, USM
Suntingan: Marziana Mohamed Alias 
Foto: Perpustakaan Hamzah Sendut, USM
 
  • Created on .
  • Hits: 119

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024