USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ATLET PERAHU LAYAR USM CEMERLANG DALAM SUKAN SEA

IMG 20150619 WA0004

PULAU PINANG, 19 Jun 2015 – Atlet sukan perahu layar dari Universiti Sains Malaysia (USM), Geh Cheow Lin, 20, berjaya membuktikan kecemerlangannya membanggakan negara dengan meraih  dua pingat Perak dalam acara perahu layar pada Sukan SEA ke-28 di Pusat Pelayaran Kebangsaan Singapura, baru-baru ini.

Geh Cheow Lin merangkul dua pingat Perak menerusi acara wanita ‘SB20 match racing’ bersama jurulatih dan ‘fleet racing’.

IMG 20150619 WA0009

Pelajar Tahun Pertama Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM, pengkhususan Pendidikan Khas  itu berkata, kemenangan tersebut memberi keyakinan kepadanya untuk bertanding dalam kejohanan-kejohanan akan datang sekiranya terpilih.

“Ini merupakan pingat pertama saya sejak menyertai acara perahu layar sembilan tahun lalu dan kemenangan ini merupakan motivasi terbaik untuk menempah kejayaan-kejayaan akan datang,” katanya dalam satu temuramah khas di sini.

Jelasnya, dia yakin kemenangan itu akan mengubah pendapat orang ramai mengenai sukan perahu layar dan berharap agar lebih ramai lagi pelajar dapat mengharumkan nama USM dan Malaysia ke persada antarabangsa dengan menyertai acara-acara sukan.

IMG 20150619 WA0005

Cheow Lin memberitahu, bapanya Geh Thuan Tek, 53, merupakan tulang belakang yang banyak menyokong serta memberi dorongan kepadanya untuk terus berjaya dalam sukan ini.

“Biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah musim peperiksaan yang berlangsung ketika ini, namun saya yakin dengan pengurusan masa yang efektif, semuanya tidak menjadi halangan,” ujar atlet kelahiran Pulau Mutiara itu lagi.

IMG 20150619 WA0007

IMG 20150619 WA0008

Cheow Lin turut berterima kasih kepada pihak universiti khususnya PPIP, Pusat Sukan USM dan seluruh warga USM yang mendoakan kemenangannya selama berlangsungnya Sukan SEA yang melabuhkan tirainya beberapa hari yang lalu.

Secara keseluruhan kontinjen negara berjaya mengumpul 186 pingat termasuklah 62 pingat emas, 58 perak dan 66 gangsa daripada temasya itu yang berlangsung secara rasmi di Singapura selama 11 hari bermula 6 Jun 2015 yang lalu.

Atlet negara mempamerkan prestasi luar biasa pada Sukan SEA 2015 apabila berjaya mengatasi kutipan 40 emas pada edisi 2009 di Laos, 2011 di Indonesia (58 emas) dan 2013 di Myanmar (43 emas). - Teks: Siti Naquiah Abdillah & Tan Ewe Hoe/Foto: Ehsan dari Geh Cheow Lin​

  • Created on .
  • Hits: 1714

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024