BENGKEL “CODEMASTERMADANI© KINI DI DAERAH SEBERANG PERAI UTARA: LEBIH 160 ORANG MURID DIDEDAHKAN ASAS PENGATURCARAAN
USM PULAU PINANG, 15 Mei 2025 – Seramai lebih 160 murid dan 40 guru dari 40 buah sekolah rendah di daerah Seberang Prai Utara telah menyertai program “CodeMasterMadani©: Bengkel Asas Pengkodan Madani untuk Pengaturcara Cilik Secara Bersemuka Peringkat Kebangsaan” yang berlangsung di Dewan utama SJKT Mak Mandin, pada 30 April 2025 lepas.
Program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Utara dengan kerjasama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada bidang pengaturcaraan dan robotik dalam kalangan murid berumur 10 hingga 12 tahun dengan harapan dapat memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Said Ibrahim.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pendidikan berasaskan teknologi digital perlu dimulakan seawal mungkin agar selari dengan perkembangan era Revolusi Industri 4.0 dan bengkel seperti ini harus terus diadakan bagi memupuk minat para pelajar terhadap bidang STEM.
“Kalau melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Begitu juga dengan pendidikan teknologi – kita perlu pupuk minat dan kemahiran ini sejak di peringkat rendah agar pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan serta melahirkan lebih ramai bijak pandai dalam bidang STEM,” ujar beliau.
Turut hadir ialah Guru Besar SJKT Mak Mandin, M. Selvakumaran; Dr. Ng Siew Kit dan Dr. Shamimi Shamsudin dari IPPT USM; serta Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPDSPU), Unit Pembangunan Bakat Murid, Seberang Prai Utara, Nurhafiza Habib Rahman.
Program ini turut menerima sokongan daripada lima orang fasilitator dari IPPT, USM: Chew Yik Wei, Nur Jihan Mohd Zukhi, Nur Fathehah Md Shakur, Muhammad Firdaus Mohamad, dan Komathi Selvarajah, yang membantu melancarkan sesi bengkel bersama peserta.
Sebanyak 40 kit Arduino Promega 2560 (papan pengembangan berdasarkan mikrokontroler) telah diserahkan kepada sekolah-sekolah yang mengambil bahagian sebagai sokongan kepada latihan dan pembelajaran praktikal dalam pengkodan.
Penyerahan kit dilakukan oleh Ketua Program CodeMasterMadani©, Dr. Ahmad Naqib Shuid dari Jabatan Kesihatan Komuniti, IPPT USM.
Menurut Naqib, program ini akan diteruskan secara dalam talian dari April hingga September 2025 melalui platform seperti Zoom dan Webex, dengan sesi dijalankan sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Program ini dijangka mencapai kemuncaknya menerusi Pertandingan Rekacipta Madani peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada hujung tahun ini yang bakal menawarkan hadiah-hadiah yang menarik kepada para pemenang.
“Program ini memberi ruang kepada murid-murid peringkat sekolah rendah bagi mendalami ilmu pengaturcaraan yang sebelum ini sukar dicapai. Ia juga sebahagian daripada komitmen USM dalam menyokong aspirasi pendidikan digital negara,” jelas beliau.
Dengan pendekatan inklusif dan pelaksanaan berterusan, CodeMasterMadani© dijangka menjadi platform penting dalam membina asas bakat teknologi tempatan bermula dari bangku sekolah rendah.
Sumber: Dr. Ahmad Naqib Shuid, Ketua Program CodeMasterMadani© Jabatan Kesihatan Komuniti, IPPT, USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 102